Mohd Sabran Md Sani.


SINDIKET dadah di Johor dikesan kembali kepada modus operandi lama, beroperasi di pinggir kampung dari kawasan bandar.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, taktik terbaru itu bagi mengelak kegiatan mereka dikesan penguat kuasa selain terletak jauh dari penempatan penduduk.

Beliau berkata, taktik itu tidak menjadi kerana hasil bantuan orang ramai dan risikan, ia tetap dapat dikesan.

“Kita banyak kesan modus operandi iaitu pengedaran dadah di kawasan pinggir kampung dan tangkapan terakhir dibuat di kawasan kebun kelapa sawit.

“Modus operandi sebelum ini buat di bandar mereka tahu akan dikesan polis dan sekarang memilih kembali ke kawasan kurang penduduk bagi memastikan aktiviti dilakukan tidak terkesan,” katanya.

Menurutnya, kepakaran unit perisikan polis menyebabkan golongan terbabit terpaksa memikirkan modus operandi lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Terdahulu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor melupuskan pelbagai jenis dadah dan barang kes bernilai kira-kira RM9.8 juta yang dirampas sejak 2009 hingga 2016.

Mohd Khalil berkata, pelaksanaan pelupusan kali pertama tahun ini hasil kejayaan anggotanya dalam membanteras gejala dadah di seluruh Johor.

“Barang kes membabitkan 66.43 kilogram (kg) pelbagai dadah dan 60 liter ubat batuk bernilai RM9.8 juta.

“Dadah yang dilupuskan termasuklah bahan kimia 31.40 kg, methamphetamine 4.70 kg, kanabis 18.73 kg, heroin 5.47 kg, ketamin 3.10 kg, MDMA 2.02 kg dan nimetazepam 1.01 kg,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, selain itu JSJN melupuskan 2,782 kg pelbagai jenis dadah, 9,020 liter cecair mengandungi dadah dan 28.24 tan ‘precursor’.

“Bagi 2017, 2,863 kg pelbagai jenis dadah sudah dilupuskan,” katanya.

Katanya, Polis Johor sentiasa komited dalam melaksanakan operasi membanteras sindiket jenayah terancang yang menjalankan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di negara ini.

“Kami juga mahu melupuskan rantaian bekalan dadah di Johor dalam usaha memerangi dadah.

“Matlamat itu perlu dicapai meskipun didapati masih ramai individu terbabit dengan pengedaran dadah,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, daripada jumlah rampasan itu pihaknya menyelesaikan 131 kes berkaitan dadah.

“Kita tidak boleh mengatakan Johor sebagai satu kawasan ‘hot spot’, sebaliknya pergerakan dadah ini satu proses berterusan,” katanya.

Ends....

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 3:21 PM
MOHD Khalil (tiga kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang akan dilupuskan. FOTO Zain Ahmed