PATUNG getah didakwa janin manusia yang ditemui di tapak pasar malam di Sungai Rambai, Jenjarom. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


ORANG ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai penemuan patung getah menyerupai janin manusia di tapak pasar malam di Sungai Rambai, Jenjarom, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Suprintendan Azizan Tukiman berkata, ia berikutan penularan gambar di media sosial yang memberi gambaran tidak tepat sekali gus mengaitkannya dengan unsur jenayah.

“Perbuatan seperti ini mengundang kegusaran di kalangan masyarakat dan dilihat sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu tanpa merujuk kepada pihak berkuasa khususnya polis,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis turut mendapati patung getah itu turut diselaputi dengan pewarna.

“Saya ingin tegaskan bahawa itu adalah patung getah, dan bukannya janin manusia. Malah, cecair yang menyerupai darah itu sebenarnya pewarna,” katanya.

Azizan turut mengingatkan masyarakat agar tidak mudah mempercayai maklumat tidak sahih sekali gus tidak menyebarkannya ke pihak lain.

“Individu yang melakukan kesalahan ini boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 4:01 PM