EMPAT tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini atas tuduhan membunuh seorang pemuda, bulan lalu. FOTO Adi Safri.
Mohamed Farid Noh


EMPAT sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemuda dalam kejadian di Taman Rekreasi Sungai Senggarang, bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh yang juga peniaga iaitu Ahmad Ad Darrabi Sadiman, 34, Muhammad Fadhli Benu, 29, Rizaki Riduan, 38, dan Mohd Fairuz Zakaria, 35, selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim.

Semua tertuduh dilihat hanya mengangguk kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa secara bersama-sama membunuh Muhammad Mudrikah Lizan, 26.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Taman Rekreasi Sungai Senggarang, antara 6.40 petang hingga 8.50 malam pada 23 Oktober lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam, Safiah Abdul Aziz.

Majistret menetapkan 3 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan laporan kimia serta dokumen perubatan.

Terdahulu, pekarangan mahkamah dipenuhi keluarga dan sahabat handai tertuduh bagi mengikuti kes pendakwaan berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 26 tahun maut dipukul sekumpulan lelaki di Senggarang, dipercayai akibat cinta terlarang.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim, dilaporkan berkata hasil siasatan awal, mangsa dipercayai dilarikan dan dipukul sekumpulan lelaki selepas salah seorang suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang dikatakan menjalin hubungan sulit dengan isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 5:22 PM