REMAJA perempuan berusia 19 tahun (dua dari kiri) yang juga isteri kepada lelaki berusia 51 tahun direman empat hari selepas perbuatan mereka mencuri pakaian pelanggan di pusat dobi layan diri dirakam CCTV, Ahad lalu. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.

Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SUAMI isteri ditahan polis selepas perbuatan mereka mencuri pakaian di kedai dobi di Simpang Empat, Kangar, Ahad lalu, dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata pasangan berusia 51 dan 19 tahun itu ditahan di rumah mereka di Sungai Bahru, Kangar, 4.30 petang semalam.

Katanya, pasangan terbabit disyaki sudah mencuri 40 pakaian milik pelanggan yang diletak di dalam mesin pengering.

“Pelanggan terbabit menyedari kehilangan pakaiannya selepas datang semula ke pusat dobi berkenaan pada 3 petang hari sama untuk mengambilnya.

“Mangsa kemudian meminta penjaga pusat dobi meneliti rakaman CCTV dan dapat mengesan perbuatan pasangan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wari berkata, mangsa kemudian membuat laporan dan polis berjaya menahan suspek di rumahnya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman empat hari mulai hari ini bagi membatu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dalam bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 6:15 PM