Anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit setelah dua kereta bertembung di Kilometer 71, Jalan Gua Musang-Kuala Krai. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit setelah dua kereta bertembung di Kilometer 71, Jalan Gua Musang-Kuala Krai. FOTO Ihsan Bomba
Ramli Ibrahim

PEMANDU maut apabila dua kereta bertembung di Kilometer 71, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di Gua Musang, hari ini.

Pemandu kereta, Ng Jiunn Jye, 20, berasal dari Kampung Baru Gua Musang, maut akibat cedera parah di kepala.

Seorang lagi mangsa yang memandu sebuah lagi kereta, Nurulhasanah Abdul Rahman, 28, dari Pulai Chondong pula cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata, kejadian itu berlaku pada jam 11.15 pagi ketika kereta dipandu Ng dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Beliau berkata, sebaik sampai di lokasi kereta mangsa gagal dikawal dan berpusing beberapa kali sebelum merempuh kereta dipandu Nurulhasanah dari arah bertentangan.

Berikutan kejadian itu, katanya, Ng tersepit di tempat duduk pemandu dan anggota bomba dipanggil bagi mengeluarkan mayat mangsa.

“Wanita yang cedera itu mendapat pertolongan orang ramai dihantar ke HGM dan keadaannya stabil,” katanya.

Mohd Taufik berkata, mayat mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 8:54 PM