KEADAAN motosikal mangsa yang melanggar sebuah lori di Kilometer 11 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Sungai Petani, semalam. Foto IHSAN PEMBACA
Nor Farhani Che Ad


PENUNGGANG lelaki maut selepas motosikalnya melanggar belakang sebuah lori yang mengalami kerosakan di Kilometer 11 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat Sungai Petani, semalam.

Dalam kejadian jam 9.50 malam, mangsa Nur Faiz Nafis Mohmad Noor, 23, dari Taman Ria, Sungai Petani dipercayai tidak menyedari lori berhenti di laluan kecemasan akibat masalah radiator.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, akibat itu mangsa melanggar bahagian sisi kanan belakang lori terbabit sebelum tercampak ke tengah lebuh raya.

“Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Butterworth, Pulau Pinang gagal mengawal motosikalnya sebelum terjatuh ke tengah lebuh raya dan digilis kenderaan lain.

“Mangsa meninggal dunia serta-merta di lokasi akibat parah pada bahagian perut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 11:48 AM