Siraj Mohd Zaini


BEKAS pengurus sebuah syarikat pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas empat pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM270,000, enam tahun lalu.

Ia didakwa bagi kerja pembinaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang.

Tertuduh, Affendi Bahrom, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bekerja sebagai Pengarah Syarikat Maxwell Accent JV Sdn Bhd didakwa menerima suapan berjumlah RM270,000 melalui empat transaksi menerusi cek daripada seorang pengarah syarikat Malim Resources.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di RHB Bank Berhad, Kelana Jaya dan Maybank Berhad, TTDI Jaya, Shah Alam, secara berperingkat-peringkat pada Mei, Jun, Ogos dan Oktober 2012 lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Hazirah Azeman yang memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan selain pasport ditahan mahkamah.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, A G Kalidas memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

“Saya turut memohon agar pasport anak guam saya tidak ditahan kerana dia sering kali ke luar negara atas urusan perniagaan.

“Namun, dia tidak pernah mengabaikan kes ini dan memberikan kerjasama setiap kali diminta hadir untuk memberi keterangan,” katanya.

Rozilah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 6 Disember ini.

Mahkamah turut memerintahkan pasport tertuduh ditahan, namun ia boleh dipohon semula sekiranya tertuduh memerlukannya bagi urusan kerja di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 5:34 PM
AFFENDI (dua dari kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM270,000 bagi kerja pembinaan di klia2 pada 2012. FOTO Faiz Anuar.