Adly semasa membentangkan Belanjawan 2019 negeri di DUN. FOTO Khairunisah Lokman
Nur Saliawati Salberi dan Amir Mamat
cnews@nstp.com.my

KERAJAAN Negeri Melaka hari ini membentangkan Belanjawan 2019 berjumlah RM382,232,452 juta dengan hasil negeri dianggarkan RM384,294,085 juta, sekali gus mencatat lebihan 15 tahun berturut-turut sejak 2005.

Belanjawan yang dibentangkan Ketua Menteri, Adly Zahari itu merangkumi perbelanjaan bekalan berjumlah RM369,167,192 juta dan perbelanjaan tanggungan sebanyak RM13,065,260 juta, sekali gus menyaksikan lebihan RM2,061,633 juta, berbanding RM280,478 tahun ini.

Bertemakan Mengembalikan Kewibawaan Melaka Ke Arah Mensejahterakan Rakyat, Belanjawan 2019 negeri itu turut menyaksikan peningkatan peruntukan kira-kira 2.76 peratus, berbanding belanjawan tahun lalu berjumlah RM373,959,732 juta.

Adly (PH AMANAH-Bukit Katil) berkata, daripada perbelanjaan mengurus itu, sebanyak RM106,070,151 juta diperuntukkan untuk bayaran emolumen bagi pegawai tetap, perkhidmatan dan bekalan (RM161,686,407 juta) dan pembelian aset berjumlah RM3,264,168 juta.

“Belanjawan Melaka 2019 menunjukkan kerajaan terus berusaha memperkukuh sumber kewangan negeri dengan meningkatkan kutipan hasil, di samping menanam sifat berbelanja secara berhemat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pembentangan belanjawan berkenaan pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Seiring dengan tema bajet tahun hadapan, kerajaan negeri menokok peruntukan pembangunan sebanyak 0.5 peratus kepada RM65 juta bagi membiayai projek yang sebilangannya membabitkan projek sambungan dan baharu.

Daripada jumlah itu, kerajaan mengagihkan peruntukan RM11.9 juta kepada Jabatan Kerja Raya, Jabatan Ketua Menteri (RM15.56 juta), Jabatan Agama Islam Melaka (RM13.35 juta), semua pejabat daerah (RM11.55 juta), Jabatan Pengairan dan Saliran (RM7.18 juta), Jabatan Pertanian (RM1.25 juta), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (RM1.1 juta), Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan (RM20 juta) dan Projek Khas Ketua Menteri (RM3.10 juta).

Adly berkata, kerajaan negeri akan mengambil pendekatan proaktif dengan memperkenalkan pelaksanaan perbelanjaan berhemah dalam Belanjawan 2019.

Antaranya, setiap jabatan perlu berbelanja berdasarkan peruntukan yang diluluskan serta mengikut keperluan, semua agensi kerajaan negeri perlu berusaha untuk ’self-finance’, semua jabatan dan agensi kerajaan negeri perlu mengoptimumkan penggunaan bangunan kerajaan bagi mengurangkan perbelanjaan sewaan dan pengubahsuaian pejabat, selain melaksanakan inisiatif teknologi hijau bagi mengurangkan perbelanjaan utiliti seperti air dan elektrik.

“Turut ditekankan, adalah menggunakan pendekatan yang lebih terkini dan menjimatkan dalam promosi misi perdagangan, pelaburan dan promosi pelancongan seperti di laman sesawang dan media sosial,” katanya.

Menerusi belanjawan itu juga, Adly turut mengumumkan bayaran khas RM500 kepada lebih 4,000 penjawat awam negeri ini yang akan dilunaskan pada awal bulan depan.

Selain itu, bantuan sekolah rendah kepada 3,000 murid dengan jumlah RM0.45 juta membabitkan Biasiswa Melaka (Sekolah Menengah) kepada 2,000 murid dengan peruntukan berjumlah RM1.2 juta.

Turut disediakan, Dermasiswa Tahfiz kepada 195 murid (RM0.30 juta), Pinjaman Wang Pengajian Tinggi (PWPT) kepada 540 pelajar (RM3.29 juta) serta insentif One-Off kepada 4,500 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) (RM1.5

juta).

“Masalah banjir adalah isu utama yang diberi perhatian sejak Melaka ditadbir oleh Pakatan Harapan. Meskipun menghadapi kekangan kewangan, namun ini tidak menghalang kerajaan negeri meneruskan projek tebatan dan mitigasi banjir dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan di lokasi yang dikenal pasti.

“Ia membabitkan Sungai Duyong sebanyak RM163.8 juta, bandar Jasin (RM60 juta), bandar Alor Gajah (RM30 juta) dan bandar Merlimau (RM36 juta), semua projek ini akan mula dilaksanakan pada Mei tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 9:22 PM