RAZLAM (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barang dirampas daripada suspek pada sidang media di IPD Taiping, hari ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
cnews@nstp.com.my


LELAKI yang ditahan polis, awal pagi kelmarin mengaku melakukan lebih 50 kes pecah rumah di tiga daerah sejak empat tahun lalu.

Tangkapan ke atas suspek berusia 36 tahun yang mengaku melakukan jenayah di kawasan Larut Matang, Kuala Kangsar dan Kerian secara bersendirian itu membolehkan polis menemui semula pelbagai barangan dipercayai dicuri termasuk 15 butir peluru hidup jenis SME Rimba dan 20 utas barang kemas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid, berkata suspek ditahan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dengan kerjasama IPD Kuala Kangsar dan anggota Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak di hadapan Balai Polis Changkat Jering antara 1 hingga 2 pagi kelmarin.

Katanya, pemeriksaan terhadap suspek menemui dua telefon bimbit dipercayai ada kaitan dengan kes pecah rumah di Taiping.

“Suspek mengaku terbabit kes pecah rumah dan curi motosikal serta menyimpan sebahagian barangan dicuri di rumah sewanya di Taman Semarak di Taiping.

“Hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menemui pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah termasuk dua motosikal dilaporkan hilang di Batu Kurau, tahun lalu.

“Antara barangan lain ditemui di kediaman suspek adalah 36 telefon bimbit pelbagai jenama, 20 utas barang kemas, 15 butir peluru hidup jenis SME Rimba dan tujuh utas jam tangan pelbagai jenama,” katanya dalam sidang media di IPD Taiping, hari ini.

Razlam berkata, siasatan turut mendapati suspek yang berkahwin dan mempunyai dua anak itu bekerja sebagai pembantu kedai makan di Taiping dan turut mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes curi motosikal.

Beliau berkata, dalam soal siasat lanjut suspek memberikan kerjasama sepenuhnya, malah secara bersahaja mendedahkan dia terbabit melakukan sekurang-kurangnya 50 kes pecah rumah di tiga daerah berkenaan.

“Modus operandinya melakukan kegiatan pecah rumah pada waktu malam dan ketika hujan dengan menyasarkan rumah tidak berpenghuni selain gelap atau tidak mempunyai sebarang cahaya lampu.

“Dianggarkan semua barangan dirampas itu bernilai di antara RM30,000 hingga RM35,000.

“Suspek direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 379A dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 9:26 PM