Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PEMILIK cap dagangan jenama beras yang diciplak, Serba Wangi (KL Sdn Bhd) meminta pengguna supaya lebih berhati-hati ketika membeli jenama produk berkenaan.

Pengurus Jualannya, Keng Tee Khoon berkata, untuk memastikan keluaran beras berkenaan jenis asli, terdapat perbezaan pada kualiti beras walaupun mereka menggunakan bungkusan yang sama.

“Beras tiruan yang menggunakan jenama kami adalah sedikit hancur dan menggunakan campuran beras tempatan dan beras import.

“Manakala bagi beras asli ia adalah 100 peratus beras yang diimport dan tidak hancur,” katanya ketika dihubungi, di Kuala Lumpur, hari ini.

Tee Khoon berkata, selain daripada kualiti beras terdapat juga perbezaan pada bungkusan beras berkenaan.

“Pengguna boleh melihat perbezaan pada kod bar, nama syarikat dan alamat, serta logo halal pada bungkusan berkenaan.

“Selain itu bungkusan pada pek jenama tiruan sedikit pudar berbanding jenama asli,” katanya.

Menurutnya, beras yang dikeluarkan syarikatnya iaitu Beras Jati Super Special adalah beras nombor satu di Malaysia menjadi sasaran sindiket untuk menciplak jenama berkenaan.

“Mereka mengambil peluang ini kerana beras berkenaan senang dijual kerana laris di pasaran.

“Kos yang digunakan sindiket itu sangat murah dan mendapat keuntungan berlipat kali ganda,” katanya.

Katanya, setakat ini pihaknya menerima dua aduan berhubung premis yang menjual beras ciplak berkenaan.

“Satu daripadanya berjaya diserbu, manakala satu premis lagi sudah mengosongkan gudang yang menempatkan beras tiruan berkenaan.

“Pihak syarikat sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menangani isu beras tiruan ini,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau meragui status beras yang dibeli boleh menghubungi syarikat secara terus untuk tujuan pemeriksaan.

Semalam, NSTP melaporkan sebanyak 574 kampit beras tiruan menggunakan jenama Beras Jati Super Special dirampas KPDNHEP dalam serbuan di premis di Pusat Bandar Utara Selayang, Batu Caves.

Serbuan yang turut disertai pemilik cap dagangan jenama beras berkenaan iaitu Serba Wangi (KL Sdn Bhd) yang mengenal pasti beras menggunakan jenama yang diciplak.

Premis itu didapati menjual serta mengedar beras menggunakan cap dagangan palsu.

Berita berkaitan

Luar mahal, dalam murah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 2:45 PM