Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@nstp.com.my


DOKTOR hospital kerajaan berputih mata selepas ditipu sindiket Macau Scam membabitkan kerugian berjumlah RM14,000, kelmarin.

Lelaki berusia 30 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mendakwa dirinya Sarjan Abi Zaini Mokhtar dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

Mangsa didakwa identitinya sudah digunakan individu lain untuk memohon kad kredit daripada bank.

Bukan itu saja, suspek juga mendakwa mangsa mempunyai rekod jenayah membabitkan kesalahan rasuah dan penggubalan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa pada mulanya menafikan pembabitan dalam kes jenayah yang didakwa suspek.

“Melihat mangsa cemas dan hampir ‘dijerat’, suspek menawarkan cara untuk melepaskannya daripada ‘tuduhan’ itu.

“Suspek kemudian meminta mangsa memberikan nombor akaun bank bagi membolehkan wang simpanannya tidak dibekukan pihak berkuasa untuk sementara waktu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mustafa Kamal berkata, mangsa yang sudah terpedaya dengan helah suspek kemudian menuruti setiap arahan untuk memasukkan wang simpanannya ke dalam akaun milik suspek.

Katanya, selepas mendapat nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC), wang daripada akaun mangsa kemudian dipindahkan ke dalam akaun suspek.

“Namun, selepas selesai memberikan nombor TAC, mangsa baru tersedar kemungkinan dia ditipu sindiket Macau Scam sebelum membuat laporan polis hari yang sama.

“Selepas laporan dibuat, mangsa kemudian mengemaskini akaun simpanannya dan mendapati wang RM14,000 sudah dipindahkan ke dalam akaun suspek. Usaha menghubungi suspek juga tidak berjaya,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis kini giat mengesan pemilik akaun berkenaan untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 6:04 PM