Nurul Hidayah Bahaudin

BERITA kematian bayi berusia 11 bulan yang maut didera secara fizikal dan seksual mencetuskan kemarahan netizen yang mengecam perlakuan itu.

Menerusi laporan Harian Metro di laman Web mengenai kejadian itu yang dikongsi lebih 3,000 perkongsian dan lebih 1,800 komen di Facebook, netizen meluahkan kemarahan mereka terhadap perbuatan keji laporan itu sejak dimuat naik kira-kira 11 malam tadi.

Seorang pengguna Facebook, Raiden Agie Puwengen berharap pengasuh bayi berkenaan yang dipercayai terbabit dengan kes itu mendapat hukuman setimpal.

"Harap pengasuhnya juga dapat hukuman setimpal kerana bayi di bawah jagaannya, macam mana suami dia boleh buat begitu, di mana pengasuh itu berada ketika kelakuan kejam belaku? Takkan tak dengar tangisan bayi tersebut," tulisnya pada ruangan komen.

Selain itu, ada di antara netizen termasuk Jameeyla Roza yang mengaitkan kejadian itu dengan keputusan positif dadah methaphetamine yang dibuat terhadap suami pengasuh berkenaan mendorong kepada kes penderaan.

"Kenapa sampai sekarang negara kita tidak boleh buat sesuatu untuk banteras dadah. Tahap nazak sangat dah. Dah boleh tembak mereka ini. Hari-hari dengar kes penagih bunuh budak. Di mana penyelesaiannya. Setakat tangkap naik turun mahkamah, bawa masuk pusat akhlak. Ingat mereka insaf ke? Sedih baca berita macam ini. Tolonglah buat sesuatu," tulisnya.

Malah, netizen seperti Faiz Aziz beranggapan bahawa hukuman mati tidak wajar dilakukan bagi menghukum pelaku kes jenayah sedemikian.

"Sebab macam inilah hukuman mati tidak perlu dimansuhkan. Kasihan pada keluarga mangsa. Tidak adil bagi mereka. Si pelaku wajib dihukum mati," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 7:16 PM