HAMIDAH menceritakan keadaan cucunya di Kampung Pandan Dalam. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Mohd Azam Shah Yaacob


NENEK kepada kanak-kanak tiga tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat didera di Ampang bimbang anak perempuannya yang menghilangkan diri bersama suaminya selepas diburu polis, sepatutnya sudah melahirkan anak ketiganya.

Hamidah Yunus, 41, berkata, anak perempuannya yang juga ibu kepada mangsa dera, Noraini Samian, 20, sedang sarat mengandung dan sepatutnya bersalin minggu lalu.

Malah, ketika melarikan diri, suami isteri berkenaan turut membawa seorang lagi anak lelaki mereka yang 21 bulan.

Katanya, dia risau keadaan cucunya itu serta Noraini yang dipercayai dipaksa suaminya, Khairul Izaini Khairuddin, 31, atau Boy Tiger untuk melarikan diri bersama-sama selepas pegawai perubatan di Hospital Ampang mengesahkan Muhammad Khairil Akmal Abdul Rahman, meninggal dunia selepas dimasukan ke hospital, Khamis lalu.

"Memang saya risau keadaannya kerana dia sedang sarat mengandung dan bila-bila masa sahaja akan melahirkan anak.

"Malah, jika disemak pada tarikh, dia sepatutnya sudah bersalin pada minggu lalu lagi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pandan Dalam, Ampang, hari ini.

Hamidah berkata, dia percaya Noriani terpaksa mengikut saja kata suaminya berikutan tidak berdaya serta takut diapa-apakan.

Katanya, ia kerana sebelum ini pernah beberapa kali anak perempuannya itu memaklumkan dipukul suami.

"Bukan saja pukul isteri dan anak, malah dia (Boy Tiger) juga pernah beberapa kali bertengkar dengan saya serta ahli keluarga yang lain.

"Jadi, saya percaya Noraini terpaksa mengikut saja kehendak suaminya itu kerana takut," katanya.

Menurut Hamidah, sebelum Muhammad Khairil Akmal disahkan meninggal dunia selepas menjadi mangsa dera bapa tirinya, dia serta seorang lagi anak perempuanya ada membuat dua laporan polis mengenai perlakuan Boy yang sering memukul isteri dan anaknya.

Katanya, dua laporan masing-masing dibuat pada 25 Oktober dan 30 Oktober lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

"Kali pertama, laporan dibuat berikutan saya melihat kesan lebam pada bibir dan mata cucu saya yang saya syaki didera bapa tirinya.

"Manakala laporan kedua mengenai perbuatan Boy yang memukul isteri serta anak selain perbuatannya yang mengelar tangan kirinya sendiri dengan pisau," katanya.

Hamidah berkata, dalam laporan kedua itu juga dia ada memaklumkan bahawa Boy adalah bekas banduan namun polis tidak bertindak atas laporan berkenaan.

"Saya terkilan kerana selepas dua laporan dibuat, polis masih tidak mengambil tindakan sewajarnya.

"Mungkin cucu saya masih hidup jika polis dapat mengambil tindakan awal termasuk memisahkan mereka untuk sementara waktu jika mereka menyiasat kes itu lebih awal," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Assisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi berkata, polis percaya suspek suami isteri sudah melarikan diri ke utara tanah air.

"Berdasarkan siasatan awal, kita percaya suspek sudah melarikan diri dari negeri ini. Malah, kita percaya mereka sudah lari ke utara tanah air pada hari sama anak mereka disahkan meninggal dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 11:10 PM