Muhamaad Razis Ismail


SEORANG bayi perempuan yang mengalami masalah jantung diterbangkan menerusi penerbangan ihsan ke Institut Jantung Negara ( IJN) Kuala Lumpur bagi menjalani pembedahan jantung segera, hari ini.

Penerbangan ihsan oleh Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) jam 11.10 pagi itu membawa Aisha Hana Humaira Mohd Fattah, tiga bulan ke IJN Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan.

Pengarah JBPM Kelantan Nazili Mahmood berkata, pihaknya menerima permohonan daripada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk membawa seorang bayi mengalami masalah jantung.

Menurutnya, bayi itu yang berada dalam keadaan separa sedar memerlukan rawatan segera di IJN.

Katanya, helikopter Agusta AW139 berlepas dari Pangkalan Udara JBPM di Bertam, Pulau Pinang mengambil masa sejam sebelum tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), jam 10 pagi.

PASUKAN perubatan membawa Aisha Hana Humaira untuk diterbangkan ke IJN Kuala Lumpur menggunakan helikopter JBPM, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

“Sebaik tiba, bayi terbabit bersama ibunya, doktor, jururawat dan penolong pegawai perubatan HRPZ II terus diterbangkan ke Kuala Lumpur.

“Sepanjang penerbangan, bayi ini perlu menggunakan mesin bantuan pernafasan dan bantuan oksigen serta pemantauan rapi dari doktor,” katanya.

Katanya, penerbangan mengambil masa kira-kira sejam setengah sebelum mendarat di padang Hospital Kuala Lumpur.

Sementara itu, ibu bayi terbabit Farhana Khalid, 31, berkata anak sulungnya dimasukkan ke HRPZ II selama 25 hari selepas secara tiba-tiba mengalami sesak nafas.

“Pemeriksaan lanjut mengesahkan anak saya mengalami masalah jantung dan perlu rawatan lanjut di IJN.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk JBPM dan HRPZ II yang banyak membantu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 12:53 PM