SENAPANG buatan sendiri jenis bakakuk yang digunakan suspek menyebabkan wanita warga emas parah dalam kejadian di Kampung Berayong, Telupid. FOTO Ihsan PDRM
Junaidi Ladjana


WANITA warga emas parah terkena tembakan senapang buatan sendiri jenis bakakuk dilepaskan anak lelakinya ketika cuba menghalang suspek menembak adiknya di hadapan rumah mereka di Kampung Berayong, Telupid, Beluran, semalam.

Dalam kejadian 9 pagi itu, Rinah Dansik, 60, cedera di lengan serta dada kiri dan kini dirawat di Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan dan dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan V Shivananthan berkata, siasatan mendapati ketika kejadian suspek bersama bapa saudaranya dan seorang rakan, minum tapai dan tumpung di rumah ibunya sempena hari jadi adik tirinya yang turut ada bersama mereka.

“Suspek dalam keadaan mabuk bertengkar dengan adiknya dan dia yang tidak berpuas hati kemudian pulang ke rumahnya terletak 200 meter dari lokasi kejadian dan kembali semula sambil membawa selaras senapang jenis bakakuk.

“Suspek yang berang cuba menembak adiknya, namun dihalang oleh ibunya manakala adik suspek cuba merampas senjata api terbabit hingga berlaku pergelutan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ketika pergelutan itu, suspek tertekan picu senapang lalu terkena ibunya mengakibatkan mangsa parah dan dihantar ke Klinik Telupid sebelum dipindahkan ke HDOK untuk rawatan lanjut.

“Suspek berusia 33 tahun kemudian ditahan di kawasan kampung berkenaan pada hari sama dan polis turut menemui senapang bakakuk yang dibuangnya di tepi jalan,” katanya.

Menurutnya, soal siasat ke atas suspek mendapati dia tidak berniat untuk menembak ibunya dan mengatakan senapang itu untuk tujuan menakut-nakutkan adik tiri suspek.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

“Nasihat saya kepada semua pemegang lesen senjata api supaya tidak menjual atau memberi kepada pemegang senjata bakakuk dan jika mereka berdegil tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 1:55 PM