AHMAD Fairuz (kiri) bersama Mohd Yusoff ketika sidang media selepas Mesyuarat Pengurusan dan Bantuan Bencana Monsun Timur Laut Selangor di Shah Alam, semalam. FOTO Rosli Mat Tahir.
Norrasyidah Arshad


KERAJAAN negeri Selangor mengenalpasti 142 kawasan berpotensi mengalami banjir kilat akibat fenomena Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir Mac depan.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof, berkata pihaknya turut menjangkakan 225 kejadian banjir kilat akan berlaku di kawasan terbabit sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata, antara daerah paling banyak dijangka mengalami masalah banjir kilat ialah Petaling, Sabak Bernam dan Hulu Langat.

“Beberapa tempat dijangka akan mengalami banjir kilat berulang sepanjang tempoh itu berikutan taburan hujan lebat selain faktor fizikal kawasan berkenaan.

“Berikutan itu, kami sudah bersiap sedia dengan 2,700 anggota daripada 27 agensi untuk digerakkan sepanjang fenomena Monsun Timur Laut ini.

“Semua agensi terbabit kini dalam keadaan bersedia manakala sebanyak 243 aset pelbagai jenis akan digunakan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Pengurusan dan Bantuan Bencana Monsun Timur Laut Selangor di Shah Alam, semalam.

Hadir sama, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor,K olonel (PA) Mohd Yusoff Samad.

Ahmad Fairuz berkata, sepanjang November hingga Disember ini, dijangkakan taburan hujan di negeri ini akan meningkat antara 250 milimeter (mm) hingga 370 mm.

Katanya, taburan hujan yang banyak ketika berlakunya air pasang besar akan menyebabkan risiko banjir serta banjir kilat lebih besar.

“Jumlah taburan hujan 300mm menyebabkan risiko sangat tinggi dan disebabkan itu, kami akan menutup semua pintu laluan air supaya air laut tidak dapat memasuki kawasan penempatan.

“Sistem saliran amat penting dan jika ia tidak diuruskan dengan baik, ini akan menyebabkan keadaan banjir kilat bertambah teruk,” katanya.

Beliau berkata, untuk lebih efisien menangani masalah banjir kilat, kawasan yang berisiko dibahagikan kepada tiga agensi iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 12:23 AM