FOTO hiasan
Nur Izzati Mohamad


PANIK kerana ketakutan menyebabkan seorang kerani akaun kerugian RM120,000 akibat ditipu selepas terperdaya dengan sindiket Macau Scam, semalam.

Sebelum itu, lelaki berusia 39 tahun itu menerima panggilan telefon kononnya daripada pihak mahkamah yang meminta dia hadir untuk perbicaraan kes.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, panggilan mangsa ‘disambungkan’ kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai sarjan sambil memaklumkan mangsa mempunyai kes penggubahan wang haram.

“Sarjan itu memberitahu mangsa bahawa kesnya masih dalam siasatan dan meminta tidak memaklumkan kepada sesiapa memandangkan mangsa adalah ‘suspek’ dalam kes itu serta meminta mangsa memberi kerjasama.

“Kerana panik dan takut, mangsa tanpa berfikir panjang terus membuat pemindahan wang dari akaun simpanan miliknya ke akaun bank yang diberikan suspek seperti diarahkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa juga membuat beberapa kali pemindahan wang di cawangan bank yang berdekatan dalam tempoh satu minggu.

“Mangsa melakukan lima transaksi pemindahan wang ke dalam empat akaun bank berlainan dalam masa tujuh hari yang membabitkan jumlah keseluruhan RM120,000.

“Malah, mangsa mendakwa bertindak demikian apabila dimaklumkan bahawa kesemua wangnya untuk tujuan siasatan dan akan dipindahkan kepada Juru Audit Negara,” katanya.

Katanya, mangsa akhirnya tersedar ditipu lalu membuat laporan polis untuk siasatan.

“Modus operandi yang digunakan suspek sama seperti kes lain yang berlaku di seluruh negara, namun masih ada individu yang ditipu dan diperdaya.

“Justeru, polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah panik apabila menerima panggilan telefon seperti ini sebaliknya menghubungi polis atau pihak berkuasa untuk pengesahan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 10:42 AM