Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


PENCEROBOHAN nelayan asing ke perairan Kuantan yang semakin berani menghampiri kawasan pesisiran pantai untuk mengaut segala hasil laut, menimbulkan kebimbangan nelayan tempatan.

Perkara itu dibangkitkan oleh Pengerusi Persatuan Nelayan Kuantan, Alif Hussin ketika sesi dialog pada Program Ramah Mesra bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang Bersama Nelayan Kawasan Indera Mahkota, di Dewan Orang Ramai Balok, Kuantan.

Alif berkata, walaupun banyak penguatkuasan yang dilakukan oleh pihak berkuasa, namun nelayan asing ini seolah-olah tidak takut malah ada yang berani memasuki perairan negara sehingga kurang daripada 10 batu nautika daripada pesisir pantai.

“Pencerobohan nelayan asing ini mendatangkan pelbagai masalah kepada nelayan tempatan malah peralatan menangkap ikan yang dipasang oleh nelayan pantai seperti bubu dan pukat rosak dimusnahkan oleh mereka.

“Unjam, bubu dan pukat nelayan kita sudah banyak dirosakkan oleh mereka sekali gus menyukarkan nelayan mencari rezeki untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga,” katanya pada sesi dialog berkenaan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu.

Pada majlis itu, Mohd Soffi turut menyampaikan sumbangan bantuan kepada 216 nelayan dan anak nelayan iaitu bantuan peralatan sekolah, pukat, tong ikan dan barangan keperluan asas.

Justeru, Alif berkata, mereka berharap pihak berwajib dapat memandang serius masalah yang dialami oleh nelayan pantai ini dan segera menyelesaikannya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Keselamatan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang, Komander V Siva Kumar ketika menjelaskan perkara itu berkata, pihaknya sentiasa melaksanakan operasi dari semasa ke semasa untuk membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing ini.

“Berdasarkan statistik, dari Januari hingga semalam, pihak APMM berjaya membuat sebanyak 25 tangkapan nelayan asing yang menceroboh perairan negeri ini. Purata tangkapan yang dibuat adalah dua sehingga tiga bot setiap bulan dengan jumlah tertinggi dicatatkan pada Ogos lalu iaitu enam bot,” katanya.

Katanya lagi, APMM juga melakukan rondaan setiap hari di perairan negeri ini bagi memastikan masalah ini dapat dikurangkan dan setiap aduan yang diterima daripada nelayan mahupun orang ramai akan disiasat dalam kadar segera sebelum sebarang tindakan di ambil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 11:22 AM