Mohd Azam Shah Yaacob


SUSPEK disyaki terbabit dera anak tiri sampai mati dikenali sebagai ‘Boy Tiger’, direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 19 November depan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Haslinda A. Raof sebaik suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang, 11 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, turut direman bagi tempoh sama adalah ibu kandung kepada kanak-kanak lelaki itu yang ditahan di Hospital Kajang, semalam selepas empat hari diburu polis.

Bagaimanapun, perintah reman terhadap wanita itu dibacakan di Hospital Kajang berikutan wanita itu masih mendapatkan rawatan kerana melahirkan anak di rumah inap di Hulu Langat, pagi semalam.

“Kedua-duanya direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak lelaki yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Terlebih dulu, Boy Tiger yang memakai kemeja-T berwarna gelap kelihatan bersahaja sebaik dibawa memasuki Mahkamah Majistret Ampang 11 pagi tadi.

Khamis lalu, suami isteri berkenaan melarikan diri apabila pegawai perubatan Hospital Ampang mengesahkan kanak-kanak berusia tiga tahun meninggal dunia akibat didera 30 minit selepas dihantar ke Hospital Ampang oleh bapa tiri serta ibu kandungnya.

Bagaimanapun, kedua-duanya ditahan di Hospital Kajang 11 pagi semalam.

Berita berkaitan:

  • [UPDATE] Isteri Boy Tiger pun ditahan
  • 'Boy Tiger' dah kena cekup
  • Nenek mangsa dera bimbang
  • 'Dia tak akan lari jauh'
  • [UPDATE] Polis cari 'Boy Tiger,' isteri
  • Budak maut didera
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 1:08 PM
    Suspek dikenali sebagai 'Boy Tiger' disyaki terbabit mendera anak tiri sampai mati meninggalkan Mahkamah Majistret Ampang, Pandan Indah. FOTO Aizuddin Saad