Mohd Anwar Patho Rohman


KEMENTERIAN Pengangkutan menetapkan pas bulanan RM100 tanpa had perjalanan bagi perkhidmatan rel di ibu negara dan bas RapidKL hanya boleh didaftarkan menggunakan MyKad dan MyTentera saja.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook, berkata peraturan itu bertujuan mengelak warga asing menikmati keistimewaan yang hanya diberikan kepada warganegara Malaysia.

Katanya, pas bulanan itu akan dilancarkan pada 1 Disember ini dan kementeriannya mensasarkan lebih 200,000 pengguna akan mendaftar perkhidmatan itu.

“Pengguna hanya perlu daftar butiran diri untuk pas bulanan ini dalam MyKad dan tidak perlu membeli kad lain. Hanya daftar sekali saja. Kemudian untuk tambah nilai hanya guna MyKad. Tidak perlu kad baharu.

“Kami tidak guna kad selain MyKad kerana skim ini hanya untuk rakyat Malaysia saja dan memastikan warganegara mendapat manfaat.

“Kalau guna kad baharu, nanti ada orang boleh buat perniagaan. Bila guna MyKad, jangan harap dapat ambil peluang (perniagaan). Lainlah kalau ada rakyat yang hendak jual MyKad dia pula.

“Saya harap ia (jual) tidak berlaku kerana MyKad adalah aset penting kita sebagai warganegara dan gunakan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat jajaran Bas Rapid Transit (BRT) Sunway di Kompleks BRT Sunway, Petaling Jaya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Muhammad Yazurin Sallij dan Pengasas merangkap Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

Dalam Belanjawan 2019, kerajaan akan memperkenalkan pas bulanan bernilai RM100 tanpa had perjalanan meliputi perkhidmatan rel dan bas RapidKL mulai 1 Januari 2019.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata peruntukan RM240 juta disediakan bagi matlamat berkenaan, seiring usaha kerajaan dalam meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam.

Anthony Loke berkata, pendaftaran pas bulanan itu boleh dilakukan di semua hub bas, stesen LRT, MRT dan monorel serta stesen BRT Sunway.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian bersetuju menurunkan kadar tambang BRT Sunway bagi tujuh destinasi perhentian sebanyak 20 peratus mulai 1 Disember ini.

Katanya, diskaun berkenaan diberikan kepada penumpang yang membayar tambang secara tunai dan menggunakan kad Touch ‘n Go (TnG) saja.

“Penurunan kadar tambang itu dijangka akan meningkatkan jumlah penumpang menggunakan perkhidmatan BRT sebanyak 22 peratus atau 13,420 orang berbanding ketika ini sekitar 11,000 penumpang sehari pada hari bekerja.

“Langkah itu diambil susulan aduan pengguna yang mendakwa tambangnya agak mahal sejak tambang dikenakan pada Ogos 2015,” katanya.

Hasil penurunan kadar tambang itu, pengguna hanya perlu membayar tambang minimum RM1.30 berbanding RM1.60 sebelum diskaun dan maksimum RM4.30 berbanding RM5.40, bergantung kepada tujuh destinasi pilihan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 7:36 PM
ANTHONY Loke (dua dari kiri) menaiki bas selepas melawat jajaran Bas Rapid Transit (BRT) Sunway di Kompleks BRT Sunway, Petaling Jaya, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir.