DR Mahathir. FOTO EPA
Reuters

Kuala Lumpur: Bank-bank di Goldman Sachs Group Inc ‘menipu’ Malaysia dalam urusan dana 1MDB, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bank pelaburan Amerika Syarikat (AS) itu berada di bawah pengawasan susulan peranannya dalam mengumpul dana melalui penawaran bon untuk 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang menjadi subjek penyelidikan rasuah dan siasatan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara.

Laporan Reuters menyebut, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat berkata, kira-kira AS$4.5 bilion (RM18.9 bilion) telah disalahgunakan daripada 1MDB, termasuk sejumlah wang yang dibantu oleh Goldman Sachs, daripada para pegawai tinggi dana dan rakan sekutunya dari 2009 hingga 2014.

Pendakwa AS memfailkan tuduhan jenayah terhadap dua bekas pegawai bank Goldman Sachs awal bulan ini.

“Terdapat bukti bahawa Goldman Sachs melakukan perkara yang salah,” kata Dr Mahathir pada temu bual dengan saluran berita AS, CNBC yang disiarkan pada Selasa.

“Jelas sekali kita ditipu melalui pematuhan orang Goldman Sachs,” katanya, tanpa menyatakan butiran lanjut.

Kawalan pematuhan bank katanya, ‘tidak berfungsi dengan baik’.

Jurucakap Goldman Sachs di Hong Kong enggan mengulas mengenai wawancara itu.

Harga saham Goldman Sachs jatuh paling rendah dalam tempoh hampir dua tahun pada Isnin selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, Malaysia akan mendapatkan ‘bayaran balik penuh’ yuran yang diperoleh daripada tawaran 1MDB.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bakal dilantik menggantikan Dr Mahathir yang kini berusia 93 tahun memberitahu Parlimen semalam, negara perlu mengambil langkah ‘lebih agresif’ untuk menuntut bayaran dan kerugian ‘akibat kesan daripada imej Malaysia’.

Bank AS memperoleh AS$600 juta (RM2.5 bilion) sebagai yuran kerjanya dengan 1MDB, termasuk tiga tawaran bon pada 2012 dan 2013 yang meningkat AS$6.5 bilion (RM273 bilion).

Bercakap kepada pemberita semalam, Guan Eng mengulangi pendiriannya Malaysia mahu menuntut bayaran yang dibayar kepada Goldman Sachs dan negara akan mengalami kerugian akibat daripada itu.

“Kerajaan Malaysia mahu menuntut semula semua yuran yang dibayar, serta semua kerugian termasuk perbezaan kadar faedah,” kata nya.

Katanya, kadar yang dibayar Malaysia adalah 100 mata asas lebih tinggi daripada kadar pasaran.

Pengkritik mengatakan yuran diperoleh Goldman Sachs adalah jauh melebihi yuran satu hingga dua peratus, kadar yang kebiasaannya diharapkan bank untuk membantu menjual bon.

Goldman berkata, yuran yang di luar jangkaan itu berkaitan dengan risiko tambahan: ia membeli bon tidak ditarik balik sementara ia mencari pelabur dan dalam kes perjanjian bon 2013 yang menaikkan AS$2.7 bilion (RM11.3 bilion), 1MDB mahukan dana dengan cepat untuk pelaburan dirancang.

Guan Eng tidak mengatakan bagaimana Malaysia mendapatkan balik wang itu dan meninggalkan perkara itu kepada Peguam Negara.

Memetik sumber, Reuters melaporkan pada Jun lalu Malaysia sedang mempertimbangkan untuk meminta Jabatan Kehakiman AS mendapatkan Goldman Sachs untuk mengembalikan yuran yang diperoleh daripada tawaran 1MDB.

Kerajaan Malaysia baru selepas pilihan raya umum Mei lalu berusaha untuk membawa balik dana yang didakwa daripada 1MDB, dana yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 11:39 AM