Muhammad Effizul Idham (tengah) bersama Noormah dan Nurul Farisha (kanan) ketika Aidilfitri lalu.
Ruwaida Md Zain
cnews@nstp.com.my

“IBU terkejut, lalu jatuh terduduk apabila ustazah memberitahu adik meninggal dunia .” Demikian luah Nurul Farisha Affida Firdaus, 16, kakak kepada Muhammad Effizul Idham, 12, yang ditemui lemas di parit di Kampung Sijangkang, Teluk Panglima Garang, Banting, semalam.

Mayat kanak-kanak itu ditemui terapung di parit di Jalan Pinang, Batu 8, Kampung Sijangkang, jam 2.40 petang.

Sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya dikatakan pergi ke parit berkenaan pada Isnin lalu.

Nurul Farisha Affida berkata, kali terakhir dia bertemu adik bongsunya itu pada pagi Isnin lalu ketika mereka sama-sama hendak pergi sekolah.

“Adik pergi sekolah naik basikal dan saya pula abang hantar naik motosikal. Keadaan adik biasa sahaja tetapi sebelum pergi sekolah dia cakap, ‘kakak, nak salam’ sedangkan dia tak macam tu sebelum ini.

“Saya bersalam dengan adik, itulah kali terakhir bersalam dan tengok adik,” katanya ketika ditemui NSTP di kediamannya di Taman Dato Hormat, Teluk Panglima Garang, Banting, petang ini.

Ketika NSTP tiba, ibunya, Noormah Maikon, 48, tiada di rumah kerana difahamkan berada di Balai Polis Teluk Panglima Garang untuk urusan berhubung laporan kematian mangsa.

Noormah yang juga seorang ibu tunggal, membesarkan tiga anaknya yang berusia antara 12 hingga 17 tahun dengan bekerja di sebuah kilang alat ganti kenderaan di Jalan Kasawari, di Banting.

Bercerita lanjut, Nurul Farisha Affida berkata, mereka semua menyedari kehilangan adiknya apabila mangsa tidak pulang sehingga jam 11 malam, pada Isnin lalu.

“Kami ingatkan dia tidur rumah kawan dia kerana sebelum ini dia kerap tidur di rumah kawan dia dan ibu pun kenal keluarga kawan dia,” katanya.

Nurul Farisha Affida berkata, mereka sekeluarga mengetahui berita kematian adiknya selepas seorang ustazah yang mengenali mereka tiga beradik datang ke rumah jam 4 petang semalam..

“Ustazah ambil saya di rumah, kemudian pergi ke kilang ibu dan kami ke lokasi untuk pengecaman.

“Selepas dapat tahu, ibu jatuh terduduk di pondok pengawal kilang ibu. Saya pula menangis tidak henti-henti sehingga ustazah tenangkan saya,” katanya.

Menurutnya, sejak semalam, ibunya mendiamkan diri, termenung dan menangis apabila teringatkan Muhammad Effizul Idham.

Jenazah Muhammad Effizul Idham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Panglima Garang jam 9 malam semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 4:55 PM