KAPAL 'Equanimity' berlabuh di di Markas Wilayah Laut 3 Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Muhaamad Hafis Nawawi dan Hamzah Osman

KAPAL layar mewah, Equanimity yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Jho Low Teck atau Jho Low dan skandal rasuah syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilaporkan berlabuh di Markas Wilayah Laut 3 Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Langkawi di Tanjung Lembung, Langkawi, hari ini.

Tinjauan NSTP setakat 5 petang tadi di pangkalan itu, mendapati kapal layar mewah itu tiba di limbungan itu hari ini selepas dipercayai berlayar dari Pelabuhan Klang ke Langkawi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim pula ketika dihubungi mengesahkan kapal itu berlabuh di Langkawi dan tiba dari Pelabuhan Klang, 10.30 pagi tadi.

Menurutnya, kapal itu kini berada Markas Wilayah Laut 3 Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Langkawi di Tanjung Lembung.

Ketika ditanya tujuan kapal itu berada di sini, pihaknya tidak dapat memastikannya dan hanya mengetahui ia tiba di sini hari ini.

Gambar berkaitan kehadiran kapal yang dipercayai sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana 1MDB itu turut dikongsi pengguna laman sosial Facebook kira-kira 4 petang tadi.

Melalui semakan di laman Web Marine Traffic, kapal itu berlepas dari Pelabuhan Klang pada 10.18 pagi semalam dan berlayar dengan kelajuan 8.6 knot.

Perkembangan itu menimbulkan tanda tanya berikutan kapal tersebut kini dalam proses bidaan kepada mereka yang berminat memilikinya.

Seorang pemilik akaun Facebook yang hanya dikenali sebagai Tun Carlos turut memuat naik status kapal berkenaan yang dipercayai berada di Langkawi.

Dalam status Tun Carlos itu turut disertakan dua keping gambar kapal berkenaan di sebuah pelabuhan di Langkawi.

Pada 24 Ogos lalu Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia dan tiga lagi untuk menjual kapal mewah Equanimity yang didakwa milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Khadijah Idris membenarkan permohonan bagi mendapatkan perintah penilaian dan penjualan dikemukakan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dua subsidiarinya Global Investment Limited serta Energy Holdings Limited mengikut Perintah 29 Aturan 4 Kaedah Mahkamah 2012.

Melalui permohonan difailkan pada 6 Ogos lalu, mereka menamakan pemilik kapal dan syarikat Equanimity (Cayman) Ltd beralamat di United Kingdom sebagai defendan pertama dan kedua.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dengan alasan bagi mengelakkan kos penyelenggaraan tinggi, selain ia boleh menyebabkan kerosakan sehingga aset itu susut nilai dan alasan keselamatan.

Bakal pembida yang berminat untuk membeli kapal layar mewah Equanimity milik ahli perniagaan Jho Low, dikehendaki membayar deposit AS$1 juta (RM4.18 juta) terlebih dulu.

Peguam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ong Chee Kwan berkata, bayaran deposit itu diperlukan bagi memastikan hanya bakal pembeli yang serius mengemukakan bidaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 7:00 PM