X
Zuliaty Zulkiffli


“SAYA hanya fikirkan keselamatan adik, Ahmad Jabir Ishak, 35, sebaik dimaklumkan rumah pusaka milik keluarga di Kampung Titi Gajah, Alor Setar, terbakar kerana dia tinggal seorang diri selain mengalami masalah kemurungan.”

Begitu kata Ainul Hayat Ishak, 44, yang juga kakak keenam daripada 13 beradik yang bergegas ke lokasi dari Bukit Pinang, Alor Setar sebaik menerima panggilan dari seorang lagi adiknya yang memberitahu rumah dua tingkat separa kayu dan papan itu terbakar pada 2.05 petang hari ini.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, dia lega apabila diberitahu Ahmad Jabir sempat lari menyelamatkan diri ke rumah jiran berhampiran ketika api sedang marak.

“Saya sedih melihat keadaan rumah musnah hampir keseluruhan termasuk segala kitab simpanan arwah ayah dan perabot dalam rumah turut terbakar.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana adik terselamat dalam kebakaran ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Jiran mangsa, Sofiah Ibrahim, 66, berkata, walaupun jarak rumahnya hanya dua meter dari rumah terbakar itu, dia bersyukur kerana rumahnya terselamat.

Katanya, mujur pihak bomba pantas memadam kebakaran kerana api merebak dengan cepat dan dia turut terdengar kepingan cermin tingkap kaca pecah akibat dimamah api.

“Saya sempat memimpin ibu, Che Don Abdul Rahman, 94, keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri sebelum membawa keluar tong gas kerana bimbang berlaku letupan disebabkan jarak dapur rumah kami terlalu dekat dengan rumah sebelah.

“Selain itu, saya sempat tarik mesin jahit yang menjadi mata pencarian saya kerana bimbang api merebak dengan cepat dan menyambar rumah kami,” katanya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Pegawai Bomba Kanan II Nozlan Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.14 petang dan dua pasukan anggotanya tiba di lokasi pada 2.24 petang.

Beliau berkata, operasi disertai seramai 15 anggota dengan kekuatan dua jentera dan sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS), sebuah motosikal RIM dan sebuah lori tangki mempunyai kapasiti air 10,000 liter.

“Operasi turut dibantu sebuah jentera dengan kekuatan anggota seramai tujuh orang dari BBP Jitra dan sebuah EMRS serta dibantu empat Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

“Pada mulanya kami menerima panggilan mengatakan terdapat seorang mangsa terperangkap dalam rumah berkenaan, namun hasil pemeriksaan kami didapati mangsa berjaya keluar sebelum kami tiba,” katanya.

Ahmad Nozlan berkata, pihaknya menggunakan alat pemotong khas untuk memotong jeriji besi bagi memudahkan operasi pemadaman dilakukan.

Beliau berkata, kebakaran itu mengakibatkan kemusnahan 90 peratus disebabkan rumah itu dibina separa papan dan batu, malah pihaknya berjaya menyelamatkan sebuah lagi rumah daripada terbakar.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dan punca serta kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 7:41 PM
ANGGOTA bomba memadam api dalam kebakaran rumah dua tingkat di Kampung Titi Gajah, Alor Setar, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
ANGGOTA bomba memadam api dalam kebakaran rumah dua tingkat di Kampung Titi Gajah, Alor Setar, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Digital NSTP Subscribe