DATUK Mohammad Hamdan Wahid. FOTO Arkib NSTP.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyediakan lebih 500 logistik marin bagi menghadapi bencana banjir Monsun Timur Laut di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, ia termasuk peralatan menyelamat di air dan bot yang digunakan sebagai logistik ketika berlaku banjir.

“Selain itu, seramai 10,000 anggota turut dibekukan cuti bermula awal November lalu sehingga awal tahun hadapan.

“Kami sudah mengenalpasti negeri sering berlaku bencana banjir pada Monsun Timur Laut dan sudah bersiap sedia sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohammad Hamdan berkata, antara negeri diberi fokus adalah Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Selain itu, kami turut bersiap siaga di Kedah dan Pulau Pinang. Beberapa kawasan sering dinaiki air sudah dikesan.

“Anggota dari Selangor dan Kuala Lumpur akan membantu negeri di pantai timur dan anggota di Perak akan menjadi lapisan kedua di bahagian utara jika jumlah keanggotaan tidak mencukupi,” katanya.

Mohammad Hamdan berkata, pihaknya turut menyediakan logistik udara dari tiga pangkalan udara yang keseluruhan mempunyai tujuh helikopter.

Beliau berkata, ketiga-tiga pangkalan udara iaitu di Miri, Sarawak mempunyai dua helikopter; di Bertam, Pulau Pinang turut mempunyai dua dan di pangkalan udara Subang mempunyai tiga helikopter.

“Semua logistik ini akan digunakan ketika berlaku bencana banjir di kawasan dikenal pasti.

“Kami turut bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia bagi membuat persiapan awal dan JBPM akan bergerak mengikut arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Masyarakat dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melakukan aktiviti luar pada musim banjir bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 9:56 PM