FOTO Hiasan
Hassan Omar
cnews@nstp.com.my


MUSIM tengkujuh dan harga getah beku yang merudum menjadi faktor penoreh tidak dapat bekerja, manakala peraih pula terpaksa beralih kepada tugas lain untuk mencari sesuap nasi.

Jika sebelum ini peraih mampu memperoleh hasil getah antara dua hingga tiga tan metrik sehari, kini mereka sekadar memperoleh antara 0.5 hingga satu tan.

Susulan itu, peraih terpaksa mempelbagaikan kegunaan kenderaan pacuan empat roda atau lori masing-masing bagi memastikan ansuran bulanan kenderaan mampu dijelaskan, selain menyediakan perbelanjaan harian keluarga.

Bagi Rustam Ma’ali, 33, dia terpaksa menawarkan kenderaan pacuan empat rodanya untuk mengangkut pelbagai barang kerana kebanyakan penoreh ‘menggantung’ pisau sejak musim tengkujuh bermula hujung bulan lalu hingga kini.

“Kebanyakan penoreh terpaksa melakukan kerja lain seperti menangkap ikan dan berkebun, manakala peraih seperti saya pula terpaksa mengangkut barang sesiapa saja yang mahu menggunakan perkhidmatan kenderaan.

“Ada kalanya, saya diminta mengangkut motosikal dari bengkel ke tempat lain,” katanya ketika ditemui di Lubok Cina, Masjid Tanah, Alor Gajah, hari ini.

Rustam berkata, sebelum ini tugas rutinnya adalah membeli getah beku di serata ceruk kampung, tetapi kini terpaksa menunggu permintaan sesiapa saja yang memerlukan perkhidmatannya.

“Kerajaan harus mencari kaedah menaikkan harga getah kepada paras RM3 sekilogram (kg), berbanding harga semasa cuma RM1.80 sekg bagi membantu penoreh yang terpaksa ikat perut,” katanya.

Seorang lagi peraih dari Lendu, Sulaiman Mohd Ali, 45, berkata, dia juga terpaksa menggunakan lori satu tan yang sebelum ini mengangkut getah beku kepada mengangkut anak pokok kelapa sawit dan baja.

“Apa saja barang yang diminta diangkut, saya akan angkut asalkan ada bayaran.

“Kalau hendak harapkan untuk mengangkut getah beku, alamatnya saya terpaksa berputih mata melihat lori ditarik oleh syarikat kewangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 11:48 AM