LAPORAN portal berita Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal berita Harian Metro sebelum ini.
Nurul Amanina Suhaini


PASANGAN kekasih ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki yang ditemui dalam lubang tadahan air di Ladang Kembau, Kuala Sedeli, Kota Tinggi pada 4 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superitendan Ahsmon Bajah berkata, lelaki warga Indonesia dan wanita tempatan berusia 30-an itu ditahan pada Isnin lalu.

Katanya, serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di Kampung Perepat Sedili, Kota Tinggi selepas menerima maklumat.

“Siasatan mendapati mangsa mati akibat kecederaan tikaman di tubuh badan. Turut dirampas sebilah pisau dan sebatang kayu.

“Setakat ini motif kejadian belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek direman tujuh hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mangsa warga Indonesia dikenali sebagai Rizal ditemui mati dengan kesan tikaman dan kelar pada tubuh di ladang terbabit.

Mayat mangsa ditemui orang awam berhampiran tepi jalan masuk ke ladang itu.

Mayat mangsa mempunyai kesan tikaman di dada, perut dan lima kesan tikaman di belakang badan, selain kesan kelar di kening dan leher manakala jari kiri dan kanan dihiris.

Berita berkaitan

Mayat lelaki dalam lubang tadahan air

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 11:54 AM