MOOI Lye ketika sesi lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini. Foto RAMDZAN MASIAM
Muhammad Yusri Muzamir


LARANGAN merokok di restoran menghangatkan sesi lisan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang apabila beberapa wakil rakyat kerajaan mempersoalkan pelbagai kelemahan mengenai pewartaan isu berkenaan.

Susulan larangan itu, H’ng Mooi Lye (PH-DAP-Jawi) mempertikaikan sama ada pengendali restoran dibenarkan menjual rokok di dalam premis masing-masing.

Selain itu, beliau mempersoal sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mensyaratkan pemilik atau pengendali restoran untuk mewujudkan ruangan tertutup untuk perokok.

“Berkenaan penjualan rokok di kedai makan, adakah PBT akan mensyaratkan larangan menjual rokok kepada pemilik atau pengendali premis berkenaan?

“Bagi saya situasi ini sangat sarkastik apabila kita beri mereka (pengendali atau pemilik restoran) jual rokok, tetapi kawasan itu tidak boleh merokok,” katanya ketika mengajukan soalan tambahan.

Sementara itu, Dr Afif Bahardin (PH PKR-Seberang Jaya) menjelaskan pihaknya tidak maklum sama ada larangan itu akan dikeluarkan ke atas pengendali atau pemilik restoran.

“Saya tak ada jawapan tepat bagi isu ini, tetapi ada sahaja banyak kedai jual kondom. Bagaimanapun, kita tidak pula ‘buat’ kat situ pun.

“Bagi ruangan khas pula, dalam pengumuman kementerian (kesihatan) tiada kawasan atau ruangan khas akan dibuat bagi perokok. Hanya kawasan khas di luar restoran akan diwartakan sebagai tempat merokok.

“Matlamat ini adalah untuk mengubah semua kawasan sebagai kawasan larangan merokok, kecuali beberapa lokasi tertentu sahaja,” katanya yang juga EXCO Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri.

Lee Khai Loon (PH PKR-Machang Bubuk) kemudian bangun dan mempersoal mengenai penguat kuasaan larangan itu apabila bilangan kakitangan penguat kuasa dikatakan tidak mencukupi.

“Dalam kes denggi pun masih banyak kelemahan daripada aspek penguat kuasaan. Bagaimana kita mahu pastikan penguat kuasaan yang baik dapat dijalankan dalam isu larangan merokok ini?” katanya.

Menjawab soalan itu, Dr Afif mengakui kelemahan itu sudah dikenal pasti, selain sudah mengesyorkan kepada Menteri Kesihatan untuk menurunkan kuasanya kepada penguat kuasa PBT.

“Bagaimanapun, ada beberapa isu berbangkit dalam hal ini. Antaranya, kompaun yang akan dikenakan. Adakah ia akan masuk kepada PBT atau disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan dengan perbincangannya sedang dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 12:12 PM