KETUA Seksyen Ruminan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Engku Hashimi Syed Ahmad (kanan) bersama penternak, Maidin Ibrahim, meneliti fizikal Bambu di Kampung Tebakang, Bukit Payong. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

TEKA-TEKI berhubung status haiwan yang disangka kacukan kerbau dan lembu baka Charolais di Kampung Tebakang, Bukit Payong terjawab apabila Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu mengesahkan haiwan itu ialah kerbau albino.

Pengarah JPV Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, pihaknya sudah menerima laporan tidak rasmi berhubung keputusan ujian darah yang dibuat ke atas haiwan yang dinamakan Bambu yang disangka kacukan kerbau dan lembu itu.

“Mengikut ujian darah yang dijalankan, haiwan itu disahkan hanya mempunyai DNA kerbau dan tiada gen lembu seperti yang didakwa pemiliknya.

“JPV memang sudah menjangka keputusan ujian darah yang dijalankan lebih dua bulan di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

“Mengikut teori sains biologi, gabungan kerbau dan lembu mustahil berlaku kerana dua haiwan itu mempunyai kromoson yang berbeza,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan kepada fitrah dan sains, kacukan lembu dan kerbau tidak akan menghasilkan anak walaupun secara semula jadinya boleh berlaku persenyawaan di antara kedua-dua haiwan itu.

“Apabila memperoleh keputusan terhadap ujian darah itu, ia membuktikan kes seperti yang didakwa itu memang tidak berlaku.

“Berkemungkinan ibu kepada Bambu sudah mengandung ketika dikurung bersama lembu jantan charolais itu tetapi tidak disedari penternaknya,” katanya.

Sementara itu, penternak haiwan terbabit, Maidin Ibrahim, 57, berkata, dia menerima keputusan itu, namun dia tetap bertegas dengan pendirianya.

“Saya menternak Bambu sejak daripada kecil justeru memang yakin ia hasil daripada gabungan dua ternakan iaitu kerbau dan lembu.

“Bagaimanapun saya menghormati keputusan ujian darah yang dijalankan JPV dan berterima kasih di atas keprihatinan pihak berkenaan.

“Tidak kisahlah sama ada ia kacukan atau pun tidak, saya tetap menyayangi Bambu dan tidak sedia untuk menjualnya,” katanya.

Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan seorang penternak di Kampung Tebakang, Bukit Payong mendakwa memiliki seekor ternakan kacukan kerbau dan lembu yang diberi nama Bambu.

Uniknya Bambu kerana ia mempunyai fizikal kerbau tetapi mata, kuku dan bulunya sama seperti lembu.

Sehubungan dengan itu, JPV mengambil sampel darah haiwan itu untuk dianalisis secara klinikal untuk menentukan kebenaran di sebalik dakwaan yang dibuat.

Berita berkaitan

Bambu anak kerbau + lembu

Tunggu ujian sampel darah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 12:21 PM