DARI kiri, Linggaraj, Chew dan Mohd Haslan pada sidang media Program MyRumah di Aeon Mall Ipoh Klebang, semalam.
DARI kiri, Linggaraj, Chew dan Mohd Haslan pada sidang media Program MyRumah di Aeon Mall Ipoh Klebang, semalam.
Shamsul Kamal Amarudin

Ipoh: Siri Pameran Hartanah MyRumah anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) buat julung kalinya diadakan di Perak.

Pameran siri kelima dan terakhir untuk tahun ini bakal menemui orang ramai di bandar raya ini di pusat beli-belah AEON Mall Ipoh Klebang bermula jam 10 pagi hingga 10 malam selama tiga hari mulai 16 hingga 18 November ini.

Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Roche Chew berkata, lima pemaju dan satu syarikat bukan pemaju menyertai pameran itu dengan lebih 1,000 unit kediaman ditawarkan untuk dijual.

Beliau berkata, lima pemaju yang mengambil bahagian ialah SPNB Aspirasi Sdn Bhd, Rima Properties Holding Sdn Bhd, Sun Land Properties Sdn Bhd, Casa Subang Sdn Bhd dan P K Lee Sdn Bhd.

Katanya, syarikat bukan pemaju yang mengambil bahagian pula ialah Takaful Ikhlas Berhad.

“Semua kediaman dijual berharga antara RM300,000 dan RM500,000 seunit,” katanya di AEON Mall Ipoh Klebang di sini.

Hadir sama Ketua Pengiklanan Wilayah NSTP S Linggaraj dan Pengurus Projek MyRumah Mohd Haslan Abd Abbas.

Chew berkata, antara projek perumahan dijangka menjadi tarikan ialah projek rumah semi D Metro Maya di Batu Gajah, rumah teres dua tingkat di Taman Klebang Rima, rumah teres dua tingkat di Sunland Residence di Jalan Kuala Kangsar serta rumah semi D setingkat dan dua tingkat di Taman Permai Utama, Gurun, Kedah.

Katanya, selain pameran kediaman untuk dijual, pihaknya turut menampilkan pelbagai program menarik termasuk ceramah oleh enam pakar hartanah antara lain membincangkan isu seperti lima trend rekaan dan hiasan rumah bagi 2019 serta tip membeli banyak rumah dalam satu masa, cabutan nombor bertuah serta aktiviti untuk kanak-kanak.

Beliau berkata, program kali ini turut menyajikan penampilan istimewa personaliti Maria Tunku Sabri yang melakukan demonstrasi masakan pada tengah hari 18 November, selain berkongsi pengalamannya dalam bidang hartanah termasuk kisah rumah tujuh tingkatnya yang menjadi viral dalam media sosial.

Chew berkata, pihaknya menyasarkan 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari program berkenaan yang dibuka percuma kepada orang ramai.

Katanya, majlis perasmian dijangka disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri Yong Choo Kiong.

Chew berkata, program MyRumah di Ipoh yang kelima tahun ini selepas Shah Alam, Sungai Petani, Johor Bahru dan Melaka dengan anggaran pengunjung di empat destinasi itu mencecah 48,500.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 12:31 PM