Equanimity. FOTO Saddam Yusoff
Sharanjit Singh


TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, kapal layar mewah Equanimity dibawa ke Pulau Langkawi kerana ia tidak boleh terus berlabuh di sesuatu tempat sepanjang masa.

Perdana Menteri berkata, kapal akan menghadapi masalah jika ia terus berada di satu tempat untuk tempoh yang panjang.

"Kapal mesti belayar.. anda tidak boleh terus menyimpannya (berlabuh) sepanjang masa kerana ia boleh menyebabkan teritip dan sebagainya berkumpul.

"Jadi, ia perlu belayar sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh beberapa hari," katanya Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 di Singapura, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya mengapa kapal layar mewah itu belayar dari Pelabuhan Klang ke Langkawi.

Beliau bagaimanapun berkata tidak tahu mengenai perkara itu ketika ditanya mengenai pergerakan Equanimity.

“Saya tidak tahu .... terima kasih kerana memberitahu saya.

“Saya harap apabila pergi ke Langkawi saya dapat melihatnya, " katanya.

Menurut Dr Mahathir lagi, mahkamah sudah memutuskan bahawa Equanimity adalah milik Malaysia dan ia bermakna, "kita boleh meletakkannya di mana sahaja."

Matlamat utama kerajaan bukan untuk menyimpan kapal terbabit, kita tidak memerlukan kapal yang besar ... terlalu mewah untuk kami.

"Kami mahu menjualnya ... jadi jika anda dapat membantu mencari pembeli, kami amat berterima kasih," katanya.

Media melaporkan bahawa Equanimity akan berada di Pulau Langkawi sehinggalah proses pembidaan untuk kapal layar mewah itu berakhir pada 28 November ini.

Kapal itu kini berlabuh di pangkalan tentera laut di pulau berkenaan.

Proses pembidaan untuk Equanimity bermula pada 28 Oktober, dengan pembeli yang berminat perlu meletakkan deposit sebanyak AS$ 1 juta (RM4.19 juta).

Pihak pembida boleh melihat kapal dan membuat tawaran sebaik sahaja deposit ini dibayar.

Menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), Equanimity dibeli oleh ahli perniagaan yang kini dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low menggunakan AS$ 250 juta (lebih RM1 bilion) yang diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB),

Pihak berkuasa Malaysia bagaimanapun mengambil hak penjagaan kapal itu pada 6 Ogos lalu selepas ia ditahan di Indonesia.

Equanimity tiba di Pelabuhan Klang pada keesokan harinya, di mana ia berlabuh sementara sehingga dibawa ke Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 2:45 PM