TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika keluar dari perkarangan Mahkamah Tinggi Seremban. FOTO Hazreen Mohamad
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my


TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bercadang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) itu yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, bagaimanapun keputusan itu terletak kepada kepemimpinan Barisan Nasional (BN) yang akan membincangkan perkara itu tidak lama lagi.

Terdahulu, Mohamad yang juga responden pertama dalam petisyen yang difailkan Dr S Streram berkata, beliau akan berbincang dengan barisan peguamnya mengenai keperluan untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan petisyen pilihan raya yang diputuskan Mahkamah Tinggi Seremban, hari ini.

Menurutnya, beliau menghormati keputusan mahkamah yang memutuskan kemenangannya untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu adalah tidak sah dan terbatal.

“Saya akan berbincang dengan peguam tindakan seterusnya yang harus saya ambil, sama ada buat rayuan atau tidak.

“Kita diberi masa 14 hari untuk memfailkan rayuan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar mahkamah, hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekiranya PRK diadakan, Mohamad berkata, beliau akan berbuat demikian.

“Sebagai mempertahankan jawatan sepatutnya saya bertanding, tetapi sekarang terpulang pada parti dan pucuk pimpinan untuk memutuskan calon yang terbaik,” katanya.

Pada 28 April lalu, Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau selepas Dr Streram dihalang masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram yang juga pakar bius memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Dalam petisyennya, selain Mohamad selaku responden pertama, Dr Streram turut menamakan pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agos Suyub sebagai reponden kedua; dan SPR responden ketiga.

Mohamad yang mula bertanding di kerusi itu dalam PRU-11 pada 2004, menewaskan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dengan majoriti 6,199 undi.

Beliau mengekalkan rekod cemerlang dengan menewaskan calon wanita PKR, Aishah Lamsah, dua kali berturut-turut iaitu pada PRU-12 dan PRU-13, masing-masing dengan majoriti 4,613 undi dan 3,783 undi.

Berita berkaitan

'PRK pula di DUN Rantau...'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 1:25 PM