NUR Aleeya (tengah) bersama Redzuan dan Aini Azlinda selepas menerima Piala Anugerah Khas Pencapaian Antarabangsa sempena Hari Anugerah Cemerlang dan Konvokesyen Prasekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Ampang, Ipoh, hari ini. Foto BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Balqis Jazimah Zahari


“SAYA minat (Lionel) Messi dan mahu jadi pemain bola sepak wanita profesional suatu hari nanti,” kata Nur Aleeya Redzuan, 11.

Murid Sekolah Kebangsaan Seri Ampang, Ipoh itu adalah antara 32 peserta yang terpilih ke Barcelona, Sepanyol bagi menyertai Program Latihan Pengantarabangsaan Astro Kem Bola 2018 bermula 24 November ini hingga 4 Disember depan.

Anak ketiga daripada empat beradik dan berasal dari Bandar Baru Pulai itu juga adalah seorang daripada 16 peserta perempuan dan peserta tunggal dari Perak yang layak ke program peringkat antarabangsa itu.

Mula aktif bermain bola sepak sejak berusia lapan tahun dan semakin aktif selepas menyertai kelab Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Soccer Kids, Nur Aleeya bercita-cita menjadi pemain bola sepak wanita profesional.

“Guru, rakan dan ibu bapa memang sentiasa memberi sokongan untuk saya meneruskan minat untuk bermain bola sepak,” katanya ketika ditemui selepas menerima Anugerah Khas Pencapaian Antarabangsa dan sijil penghargaan di sekolahnya, hari ini.

Nur Aleeya berkata, semangatnya berkobar-kobar untuk mengikuti kem latihan berkenaan dan membahagikan masa secukupnya untuk belajar serta bermain bola sepak.

“Gembira kerana saya terpilih untuk ke sana (Barcelona), terima kasih dan saya akan banggakan ibu bapa, sekolah, jurulatih dan semua yang menyokong saya selama ini.

“Sebagai persiapan sebelum ke kem latihan itu, saya akan mengambil masa sekurang-kurang sejam untuk berlatih di Padang Ipoh selepas waktu sekolah,” katanya.

Sementara itu, bapanya Redzuan Ahmad, 43, berkata anaknya berminat dengan bola sepak kerana sering melihat perlawanan di televisyen terutama Liga Perdana Inggeris (EPL) dan La Liga.

“Anak saya memang meminati bola sepak dan apabila dia mendapat peluang menyertai kelab bola sepak. Dari situ dia belajar sedikit demi sedikit teknik bermain, persefahaman satu pasukan dan mula menyertai pelbagai kejohanan sejak berusia sembilan tahun.

“Kemuncaknya dia berjaya melepasi saringan pemilihan di Shah Alam, Ogos lalu dan seterusnya terpilih menyertai kem latihan itu,” katanya.

Ibunya, Aini Azlinda Hamzah, 44, pula berkata Nur Aleeya sudah mempunyai kecenderungan terhadap bola sejak kecil dan dia bersama suami menyokong penuh minat anaknya itu.

“Nur Aleeya adalah anak kembar dan kembar seirasnya, Nur Aleesa pula aktif dalam sukan boling padang.

“Perancangan masa hadapan untuk anak adalah jika mereka mendapat peluang belajar di sekolah sukan, kami akan terus memberi sokongan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 4:40 PM