Mohd Hafizee Mohd Arop


KIRA-KIRA 2,000 peserta menyertai Himpunan Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh, hari ini.

Himpunan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri, PAS serta UMNO yang diketuai Naib Presiden PAS, Idris Ahmad bermula selepas selesai solat Jumaat.

Turut serta dalam bantahan itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semanggol, Razman Zakaria; ADUN Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad dan Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Akmal Kamaruddin.

Peserta bantahan yang berhimpun di pintu pagar masjid berkenaan kemudiannya mendengar ucapan beberapa pemimpin parti serta NGO sebelum berarak ke Majlis Peguam Perak kira-kira 300 meter dari lokasi perhimpunan itu.

Idris kemudiannya mewakili peserta bantahan menyerahkan memorandum kepada wakil majlis itu sebelum peserta bersurai kira-kira 3 petang tadi tanpa sebarang kejadian tidak diingini.


PESERTA berhimpun di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya

Menurutnya, beliau tidak menyangka himpunan kali ini akan disertai oleh ribuan masyarakat Islam dan yakin ia menjadi petunjuk orang Islam di negara ini tidak bersetuju dengan cadangan ICERD.

“Ini signal (amaran) awal kepada mereka yang nak bersekongkol dengan kumpulan ICERD bahawasanya ini Malaysia, saya nak ingatkan sekali lagi ini Malaysia, majoritinya 63 peratus orang Islam dan tidak pernah berlaku penindasan terhadap orang bukan Islam dan bukan Melayu,” katanya yang ditemui selepas menyerahkan memorandum berkenaan.

Idris berkata, penganjuran program Himpunan Kebangkitan Ummah di pekan Kampung Gajah, Pasir Salak, esok juga dijangka disertai ribuan peserta yang turut membantah ICERD.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 6:18 PM