ANGGOTA HAZMAT melakukan operasi pembersihan susulan lori membawa muatan tong asid nitrik terbabas dan tong jatuh di Jalan Bukit Pelanduk, Port Dickson, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Mohd Khidir Zakaria


LORI membawa muatan asid nitrik terbabas menyebabkan empat tong cecair bahan kimia itu terjatuh dan tumpah di Jalan Bukit Pelandok, Tanah Merah, Port Dickson, hari ini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.25 tengah hari dan 20 anggota serta pegawai termasuk Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dihantar ke lokasi.

“Kejadian itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa, sebaliknya membabitkan tumpahan bahan kimia dan kerja pembersihan nyah cemar dijalankan dengan bantuan anggota HAZMAT serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengambil tindakan lanjut selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 8:31 PM