MOHAMAD ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama ahli UMNO Pahang di Yayasan Pahang di Kuantan, hari ini. Foto FARIZUL HAFIZ AWANG
Amin Ridzuan Ishak


TIMBALAN Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan bersedia berdepan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang dikatakan antara calon dipertimbangkan mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Mohamad berkata, beliau akan bekerja keras untuk memastikan kerusi yang disandangnya sejak 2004 itu kekal menjadi milik Barisan Nasional (BN).

“Terpulang kepada mereka hendak letak siapa untuk bertanding, saya bersedia berdepan sesiapa sahaja.

“Sudah tentu saya akan memberi sepenuhnya komitmen untuk menang,” katanya ketika ditemui selepas majlis perjumpaan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid bersama UMNO Pahang di Kuantan, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa nama Rafizi ada dibangkitkan sebagai calon PRK Dewan DUN Rantau.

Beliau berkata, siapa calon PH daripada PKR yang akan bertanding pada pilihan raya kecil terbabit masih di peringkat perbincangan.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Tinggi Seremban, semalam memutuskan kemenangan Mohamad tanpa bertanding di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu adalah, batal dan tidak sah.

Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 2:53 PM