PENGUNJUNG melihat Pameran Hartanah MyRumah 2018 di AEON Mall Klebang, Ipoh, hari ini. Foto ABDULLAH YUSOF
PENGUNJUNG melihat Pameran Hartanah MyRumah 2018 di AEON Mall Klebang, Ipoh, hari ini. Foto ABDULLAH YUSOF
Mohd Hafizee Mohd Arop dan Zahratulhayat Arif


HARI kedua Pameran Hartanah MyRumah 2018 di AEON Mall Ipoh Klebang, Ipoh menerima maklum balas baik daripada pengunjung dan rata-rata daripada mereka mahu ia diteruskan.

Jurutera Muhamad Zaidi Mat Saad, 34, berkata penganjuran pameran hartanah oleh The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) itu dilihat dapat membantu pembeli rumah mencari kediaman bersesuaian.

Menurutnya, dia sedang mencari rumah kedua untuk didiami di negeri ini selepas membeli sebuah rumah di Lembah Klang sebagai aset masa hadapan.

Katanya, dia mengucapkan tahniah kepada NSTP kerana menganjurkan program itu kerana turut diisi dengan ceramah yang memberikan input dari setiap aspek mengenai rumah.

“Memang bermanfaat dan berharap ia diteruskan penganjur pada tahun hadapan kerana ia bukan sahaja memberikan peluang kepada pengunjung memilih rumah diingini, tetapi turut mendapat ilmu melalui slot ceramah disediakan.

“Cuma saya berharap jumlah pemaju dapat ditambah lagi pada masa akan datang bagi memberikan peluang kepada pengunjung untuk memilih rumah yang diingini termasuk memperbanyakkan rumah pada harga mampu milik,” katanya.

Untuk hari ini, empat slot ceramah diadakan membabitkan beberapa tajuk seperti 5 Design Trend 2019, Jom Tackle Bank, Lima Tertib Duit Sebelum Melabur Hartanah dan Bagaimana Membeli Hartanah Sebelum Umur 25 tahun.

Antara penceramah ialah Amin Yusoff, Bella Leanna, Azim Sulaiman dan Hasnain Hasanan.

Pada pameran selama tiga hari bermula semalam itu, sebanyak enam pemaju mengambil bahagian iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), SPNB Aspirasi Sdn Bhd, Rima Properties Sdn Bhd, Sun Land Properties Sdn Bhd, Casa Subang Sdn Bhd dan P K Lee Sdn Bhd, manakala syarikat bukan pemaju yang turut mengambil bahagian adalah Takaful Ikhlas Berhad.

Pengunjung lain Vincern Yeoh, 63, berkata dia mendapat banyak idea serta ilmu baharu mengenai rumah selepas mendengar beberapa siri ceramah diadakan hari ini.

“Saya dapat banyak idea untuk menyusun atur rumah daripada ceramah diadakan dan ilmu seperti ini bukan senang hendak peroleh di luar, jadi program seperti ini memang baik.

“Saya sudah ada satu rumah tetapi saya suka untuk melihat dan menambah ilmu dalam bidang hartanah kerana ia boleh dimanfaatkan untuk ahli keluarga,” katanya yang turut menyertai aktiviti disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 5:27 PM