RAFIZI. FOTO Arkib NSTP
Mohd Iskandar Ibrahim
mohd_iskandar@nstp.com.my


BEKAS Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Beliau berkata, walaupun namanya antara disebut sebagai calon mewakili PKR, hasrat untuk tidak bertanding atau memegang sebarang jawatan dalam kerajaan sudah disampaikan kepada pucuk pimpinan parti.

“Saya sudah sebut daripada awal yang saya tidak berminat apa-apa jawatan awam selama paling kurang dua tahun kerana saya sudah berjanji dengan keluarga.

“Jika saya dibayar RM50 juta sekali pun, saya tidak akan bertanding,” katanya berseloroh.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Kongres Nasional PKR Ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam hari ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media, hari ini, mengesahkan nama Rafizi antara yang dibangkitkan sebagai calon PRK DUN Rantau.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, calon yang paling sesuai untuk bertanding di situ ialah Naib Ketua PKR Cabang Rembau, Dr S Streram.

“Dr Streram sudah bekerja di lapangan untuk dua tahun, ketuk pintu rumah orang, dikenali di peringkat bawahan. Sebab itu orang UMNO gentar berdepan dengan beliau.

“DUN Rantau terdiri daripada 32 peratus pengundi India yang juga komposisi kaum India paling ramai di seluruh negara. Sewajarnya parti perlu meletakkan calon dari kaum India dan calon terbaik ialah Dr Streram,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 6:55 PM