LELAKI cedera  diserang 20 individu tidak dikenali di PPR Kampung Baru Air Panas, Setapak, semalam.
LELAKI cedera diserang 20 individu tidak dikenali di PPR Kampung Baru Air Panas, Setapak, semalam.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seorang lelaki cedera di bahagian tangan dan dada selepas diserang 20 individu tidak dikenali dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Setapak, semalam.

Dalam kejadian pada jam 9.45 malam itu, mangsa yang berusia 35 tahun dipercayai diserang akibat tidak puas hati kerana mangsa membuat aduan berhubung isu parkir di kawasan perumahan berkenaan.

Difahamkan, mangsa membuat aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkenaan parkir orang kurang upaya (OKU) yang disalah guna penduduk.

Menurut sumber, mangsa diserang menggunakan kayu, parang dan batu oleh individu berkenaan dipercayai penduduk setempat.

“Mangsa mengalami luka di tapak tangan dan mengadu sakit dada selepas kejadian itu.

“Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kemudian dihubungi untuk memberi rawatan kepada mangsa,” katanya.

Sementara itu, jurucakap APM berkata, mangsa diberi rawatan di lokasi kejadian oleh anggota yang bertugas.

“Mangsa kemudian dibawa ke hospital berdekatan bagi menerima rawatan.

“Keadaan mangsa kini stabil dan menerima rawatan pesakit luar. Mangsa akan membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 11:30 AM