DAHALI Hamdan. FOTO ihsan Polis
Junaidi Ladjana


KETUA Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KBSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, Inspektor Dahali Hamdan, meninggal dunia ketika bertugas di Kota Kinabalu, hari ini.

Difahamkan, pada 5.45 pagi, Allahyarham mengadu sakit dada ketika hadir melapor diri bagi bantuan penugasan acara perlumbaan basikal ‘Kota Kinabalu Cycling Race 2018’ di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sejurus itu rakan sekerja membawa beliau ke Hospital Queen Elizabeth (HQE 1).

“Setiba di lampu isyarat berdekatan Centre Point di sini, beliau tidak sedarkan diri dan sebaik tiba di HQE1, bantuan pernafasan diberikan.

“Namun pada 7.28 pagi, doktor mengesahkan beliau sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jenazah kemudian dibawa ke Unit Forensik HQE1 untuk bedah siasat.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah dan rakan setugas Allahyarham turut hadir melawat.

Allahyarham yang berasal dari Kudat akan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Pantai Emas, Kota Belud. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat anak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 6:33 PM