Mohamad (lima kanan) bersama Pengerusi Amanah Negeri Selangor, Ir Izham Hashim (kanan) pada majlis perasmian Konvensyen AMANAH Selangor. FOTO Zunnur Al Shafiq
Mohamad (lima kanan) bersama Pengerusi Amanah Negeri Selangor, Ir Izham Hashim (kanan) pada majlis perasmian Konvensyen AMANAH Selangor. FOTO Zunnur Al Shafiq
Nadia Hamid


BEKAS ahli PAS Kelantan antara mereka yang paling ramai ‘lompat parti’ menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) dengan purata 2,000 ahli sebulan.

Data terbaharu itu didedahkan ketika Konvensyen AMANAH Selangor, hari ini yang mencatatkan Kelantan merekrut ahli baharu berdaftar paling ramai menyertai parti itu.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata, parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu terbuka menerima ahli parti lain yang berhasrat menyertai mereka atau kecewa dengan kerjasama PAS-UMNO.

“Mereka (PAS-UMNO) telah ‘berbisik’ bersama mengenai perpaduan walaupun ketika saya masih bersama PAS.

“Adakah mereka fikir, saya yang ketika itu menjadi Timbalan Presiden PAS tidak tahu mereka berbisik antara satu sama lain?” katanya kepada 1,000 pimpinan tertinggi, perwakilan dan ahli AMANAH, yang menghadiri konvensyen.

Sebelum ini, Mohamad menjelaskan keahlian parti itu meningkat mendadak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Katanya, dianggarkan keahlian baru sebanyak 10,000 sebulan di seluruh negara.

“Angka itu menjadikan keahlian keseluruhan AMANAH mencecah 100,000 ahli walaupun baharu tiga tahun parti ditubuhkan,” katanya.

Sementara itu, Konvensyen AMANAH Selangor menobatkan Selangor sebagai negeri yang mempunyai ahli AMANAH paling ramai.

Bekas pelajar Pengajian Komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Azrulkhan Hasrullah Matsah, individu kurang upaya (OKU) pertama merangkak menawan Gunung Everest menerima Anugerah Jasamu Dikenang.

Turut dilancarkan adalah Tabung Peduli AMANAH Selangor untuk membantu keluarga ahli parti yang meninggal dunia, ketika menyumbangkan khidmat kepada parti serta Produk Biro Kebajikan Kemanusiaan dan Bencana Alam AMANAH Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 7:18 PM