26 PATI termasuk tekong darat warga Indonesia yang ditahan dalam operasi yang dijalankan APMM Zon Maritim Tanjung Sedili di Pesisir Pantai Tanjung Lompat, Kota Tinggi. FOTO Ihsan APMM
Nurul Amanina Suhaini


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang tekong darat dipercayai cuba pulang ke negara asal menerusi laluan tidak sah, di Pesisir Pantai Tanjung Lompat, Kota Tinggi.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, dalam kejadian 5.30 petang kelmarin, kesemua yang ditahan warga Indonesia itu terdiri daripada 20 lelaki dan enam wanita berusia 18 hingga 46 tahun.

“Penahanan itu dijalankan menerusi satu operasi pemantauan Pesisir Pantai Tanjung Lompat dan Perairan Desaru, dekat Kota Tinggi, bagi mengenal pasti lorong tikus yang digunakan oleh sindiket penyeludupan keluar atau masuk migran.

“Sindiket ini mengaut keuntungan yang besar dengan mengenakan bayaran dari RM1,000 hingga RM3,000 seorang tanpa mengambil kira keselamatan penumpang.

“Dalang utama sindiket yang dipercayai terbesar dalam menguruskan penyeludupan migran di Johor Timur ini juga sudah dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zulfadli berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Zon Maritim Tanjung Sedili bagi pemeriksaan awal sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Kejayaan operasi ini adalah hasil maklumat awam dan menjadi tangkapan keempat bagi tahun ini untuk kes seumpama dalam membanteras aktiviti penyeludupan migran.

“APMM sekali lagi menasihati warga Indonesia yang ingin pulang ke kampung halaman supaya menggunakan laluan yang sah (mengikut undang-undang) dan dapat pulang dengan selamat berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 11:30 AM