PEMENANG menerima hadiah yang disampaikan Ainuddin (tiga kiri). FOTO ihsan DBKL
Fuad Hadinata Yaacob


KEJAYAAN menaikkan ikan patin seberat 7.8 kilogram menobatkan Mohd Ariffin Misbah sebagai juara pertandingan memancing Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) 2018 ketujuh siri 9, semalam.

Berikutan itu, Mohd Ariffin membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 serta hadiah sumbangan Oyoshi Green Tea dan Igloo-UFL.

Pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Tasik Metropolitan Kepong itu menarik lebih 700 peserta.

Tempat kedua disandang Fazly Ibrahim yang menaikkan spesis belida seberat 4.85 kilogram sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,000 serta hadiah sumbangan Oyoshi Green Tea dan Igloo-UFL.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Khairul Anuar Mhd Juri berkata, lebih 500 ikan pelbagai spesies dinaikkan dalam program bertemakan ‘Jom Pancing Rakyat Ceria Komuniti Sejahtera’ itu.

Beliau berkata, pihaknya yakin program itu mencapai matlamat apabila perpaduan dan keharmonian pelbagai lapisan masyarakat tidak kira peringkat usia mahupun agama disatukan melalui aktiviti riadah itu.

"Objektif program seperti ini kita mahu rakyat bersantai, beriadah seterusnya mengeratkan silaturahim di kalangan warga kota," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 6:33 PM