MOHD Yusof Ahmad. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my


“KITA tetap berpegang kepada fatwa sebelum ini dan tidak akan berubah,” kata Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad.

Beliau berkata, fahaman Syiah jelas menyimpang daripada ajaran Islam sebenar malah fahaman itu juga berlainan dengan penganut Islam di Malaysia yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Katanya, Muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada Mei 1996, menetapkan umat Islam di negara ini hendaklah mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam segi akidah, syariah dan akhlak selain menfatwakan Syiah bertentangan dengan ajaran itu.

“Ia adalah keputusan bersama oleh jawatankuasa dan mufti berdasarkan penyelidikan yang dilakukan, bukan kita terus melarangnya (fahaman Syiah).

“Banyak perkara yang dilakukan Syiah termasuk penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan sahabat serta mengatakan imam maksum adalah jelas bertentangan dengan Islam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar yang menggesa pembatalan fatwa berkenaan dengan mengatakan penganut fahaman Syiah tidak bertentangan dengan Islam.

Menurut Mohd Yusof, Dr Chandra berkemungkinan berpandangan singkat mengenai fahaman Syiah lalu berpendapat fahaman terbabit betul atau mengikut saja arahan pihak lain.

Beliau berharap kerajaan, institusi keagamaan dan semua pihak berautoriti menentukan kedudukan agama Islam di negara ini supaya ia tidak merosakkan akidah umat Islam.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, 1 November lalu berkata, kerajaan peka dan memandang serius penyebaran mana-mana doktrin yang menyeleweng daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah, termasuk fahaman Syiah.

Beliau berkata, Muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 2 dan 3 Mei 1996, menetapkan umat Islam Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ini disusuli dengan fatwa pengharaman Syiah di 13 negeri di Malaysia dan diwartakan serta boleh digunakan untuk mengambil tindakan ke atas pengikut Syiah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 6:35 PM