FARIZAH (kanan) bersama adik iparnya, Norzali Md Noor (tengah) dan Abdul Razak berbincang mengenai kerja membina semula bumbung dapur kediamannya yang runtuh dihempap pokok bacang di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar.


TIDAK menerima tempahan kuih tradisional sebagaimana selalu bagaikan ‘petanda’ yang menyelamatkan seorang wanita daripada bencana selepas bahagian dapur rumahnya di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, musnah akibat dihempap pokok, awal pagi semalam.

Farizah Mat Senik, 59, berkata dia bersyukur kepada Allah SWT kerana menyelamatkannya kerana kebiasaannya dia berada di dapur bagi menyediakan tempahan kuih seperti karipap, koci, pau, seri muka dan talam.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, Farizah dan suami, Nazlan Nazri, 63, serta empat anggota keluarga lain terjaga daripada tidur apabila kampung berkenaan dilanda ribut dengan angin kencang bertiup dari laut kira-kira 100 meter dari kediaman mereka.

“Kami terjaga apabila hujan lebat, kilat dan petir serta angin kencang. Tiba-tiba kami dengar pokok berderap patah sebelum dentuman kuat meranapkan bumbung bahagian dapur.

“Disebabkan kejadian itu, kami segera keluar rumah kerana bimbang bahagian bilik dan ruang tamu pula akan dihempap pokok. Alhamdulillah tiada sesiapa cedera,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Balik Batu, hari ini.

Sambil mengucapkan syukur kepada Allah SWT, Farizah berkata, pokok bacang sebesar pemeluk orang dewasa berusia hampir 100 tahun itu tumbang hanya beberapa sentimeter dari bilik ibunya, Bibah Othman, 78.

“Walaupun sedih mengenangkan kemusnahan bumbung dan perabot di dapur, kami sekeluarga tetap bersyukur kerana Allah SWT menyelamatkan kami daripada sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Permuafakatan Komuniti Kampung (MPKK) Balik Batu, Abdul Razak Mohd Kassim, berkata MPKK sudah mengemukakan permohonan mendapatkan bantuan daripada Tabung Bencana Alam Kerajaan Negeri Melaka.

“Kerosakan bumbung dapur itu dikategorikan sebagai musnah keseluruhannya dan kami yakin bantuan akan diberikan tidak lama lagi.

“Kejadian sama turut berlaku di tiga lagi kediaman penduduk di kawasan berkenaan.

“Kami sudah melakukan pentaksiran nilai kerosakan dan bantuan akan diberikan sebaik MPKK menerima peruntukan daripada Tabung Bencana Alam Kerajaan Negeri Melaka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 9:28 PM