Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my


LELAKI yang menghadapi pertuduhan berkaitan kesalahan dadah melarikan diri dari Mahkamah Majistret Rembau, semalam.

Sumber berkata, dalam kejadian 10.30 pagi itu, nama lelaki itu dipanggil oleh jurubahasa mahkamah beberapa kali, namun tidak disahut sesiapa dalam kandang tertuduh menyebabkan polis mula mencarinya.

“Polis bergegas ke bilik menempatkan tertuduh yang berasal dari FELDA Bukit Alor, Air Kuning Selatan, Gemencheh dekat Seremban, namun menyedari dia tidak berada di situ.

“Polis percaya tertuduh berusia 29 tahun yang sebelum itu dibawa dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin untuk menghadapi pertuduhan, melarikan diri ketika menunggu gilirannya didakwa,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, sepasukan anggota polis dikerahkan bagi mencari dan menahan semula suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 12:13 PM