SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin melahirkan kebimbangan terhadap gejala ajaran sesat dan masalah sosial yang disifatkan semakin membarah dalam setiap sendi masyarakat Islam di negara ini, sejak kebelakangan ini.

Justeru, baginda menyeru supaya umat Islam kembali memartabatkan maruah dan imej Islam dengan menjadikan junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan sahabat sebagai contoh terbaik untuk menangani masalah yang membelenggu itu.

Baginda bertitah, gejala ajaran sesat dan masalah sosial ini adalah berpunca daripada ketipisan jiwa setiap Muslim terhadap ajaran Islam.

“Rasulullah SAW dan sahabat adalah contoh terbaik kerana memiliki akidah kental, ibadah yang konsisten dan akhlak terbilang sehingga mereka muncul sebagai generasi terbaik serta cemerlang dalam segala lapangan hidup.

“Sehubungan itu, untuk memartabatkan kembali maruah dan imej umat Islam, setiap Muslim sewajarnya mempelajari sirah Rasulullah SAW, memahaminya, menghayatinya dan juga menterjemahnya dalam realiti kehidupan kerana Islam itu adalah cara hidup yang menyeluruh,” titahnya.

Baginda bertitah sedemikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1440/3018 Peringkat Negeri Terengganu, hari ini, yang bertemakan ‘Menyantuni Ummat Membawa Rahmat’.

Turut mencemar duli ke majlis itu Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Terdahulu, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengetuai perarakan Sambutan Maulidur Rasul yang disertai kira-kira 2,000 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar dari Dataran Shahbandar menuju ke Stadium Negeri Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 3:08 PM
SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bersalaman dengan orang ramai ketika berangkat pulang selepas merasmikan Sambutan Maulidur Rasul 2018 di Stadium Negeri. FOTO Rozainah Zakaria