NUR Ellyanna (tengah) menerima kunjungan wakil NGO di rumahnya di Jalan Hutan Kampung, Alor Setar, hari ini. Foto ZULIATY ZULKIFFLI
NUR Ellyanna (tengah) menerima kunjungan wakil NGO di rumahnya di Jalan Hutan Kampung, Alor Setar, hari ini. Foto ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


NASIB menimpa Nur Ellyanna Saffia Abdullah, 12, yang menghidap kanser darah tahap dua mendapat simpati ramai pihak selepas kisahnya tersiar, hari ini.

Selain itu, kanak-kanak terbabit turut mendapat sumbangan wang dan keperluan bekas makanan yang disampaikan Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Hassanudin Samsudin dan wakil Mumtaz Event Kakteh Alfalah, Rohayati Ayob.

Selain itu, Persatuan Sahabat Prihatin Kedah dan Sukarelawan Sahabat Asnaf Kedah turut membantu menyalurkan bantuan untuk mereka bagi meringankan beban yang ditanggung.

Ibu kanak-kanak itu, Intan Rafizah Md Zin @ Ibrahim, 39, berkata sebelum ini dia terpaksa menangguhkan beberapa kali rawatan untuk anaknya di Hospital Pulau Pinang (HPP) disebabkan tiada sumber kewangan.

Katanya, dia yang hanya bekerja sambilan sebagai tukang cuci dengan pendapatan tidak menentu tidak boleh melakukan kerja berat kerana baru menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam perut pada Januari lalu selain mempunyai masalah jantung.

“Saya berterima kasih kerana ada pihak sudi memberi sumbangan kepada kami sekeluarga bagi membolehkan anak saya ke HPP, hari ini.

“Sepatutnya saya dan anak menaiki komuter ke sana awal Subuh tadi tetapi disebabkan Nur Ellyanna muntah-muntah, doktor menyuruh kami pergi ke sana petang ini dan dijangka dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui hari ini.

Intan Rafizah berkata, wang sumbangan orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diterimanya akan digunakan sepenuhnya untuk kos ulang-alik dan makan minum sepanjang rawatan.

Katanya, walaupun menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM400, namun ia tidak mencukupi kerana terpaksa menanggung dua lagi anak berusia dua dan empat tahun.

“Sekarang saya nak fokus untuk rawatan Nur Elyanna Saffia saja kerana saya bimbang melihat keadaan kesihatannya yang tidak menentu sejak kebelakangan ini dan doktor menjangkakan hayatnya cuma lima bulan lagi,” katanya.

Berita berkaitan

'Saya tak mampu...'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 4:31 PM