GAMBAR hiasan
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SUSPEK yang melarikan diri ketika pertuduhan kes dadah di Mahkamah Majistret Rembau, kelmarin diberkas semula di Tampin, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, suspek ditahan 9.15 malam ketika menyerah diri di Balai Polis Tampin.

Katanya, sebaik meloloskan diri pada 10.30 pagi, lelaki itu menaiki teksi dari mahkamah menuju ke rumah di Tampin.

“Selepas 35 jam melarikan diri, suspek menyerah diri di Balai Polis Tampin” katanya kepada NSTP, hari ini.

Menurut Anuar Bakri, suspek ditahan polis pada Ahad lalu dan sepatutnya dituduh di mahkamah, di sini, kelmarin.

Katanya, ketika namanya dipanggil oleh jurubahasa mahkamah sebanyak dua kali dia tiada di kandang tertuduh dan didapati melarikan diri.

“Sehubungan itu gerakan memburu suspek dilakukan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin sehingga ditangkap semula,” katanya.

Dalam pada itu Anuar Bakri menafikan dakwaan mengatakan suspek dibantu beberapa pengedar dadah ketika meloloskan diri di mahkamah sebelum disembunyikan di rumah di Tampin.

“Dakwaan itu tidak benar dan kami juga tidak menahan beberapa pengedar lain yang dikatakan bersekongkol dalam kejadian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan:

  • Lari sebelum kena dakwa
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 12:21 PM