TANGGA dipercayai digunakan mangsa sebelum terkena renjatan elektrik ketika cuba memasang kain rentang di depan bangunan kilang perabot di Inanam, Kota Kinabalu, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Norasikin Daineh


SEORANG pekerja kilang perabot maut, manakala dua lagi rakannya termasuk seorang wanita selamat selepas terkena renjatan elektrik ketika memasang kain rentang di depan bangunan kilang berkenaan di Inanam, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian 2 petang itu, mangsa meninggal dunia ialah Azhar Alih, 22, manakala dua yang selamat ialah Yasirarafat Morphy, 24, dan wanita dikenali sebagai Ladykinda, 20, yang dirawat di Hospital Queen Elizabeth (QEH).

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.30 petang.

“Maklumat diperoleh mendapati tiga pekerja terkena renjatan elektrik ketika memasang kain rentang di hadapan bangunan itu menggunakan tangga.

“Bagaimanapun, ketiga-tiganya terjatuh dan terkena pada wayar elektrik yang berada di hadapan bangunan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Khatizah berkata, akibat kejadian itu, dua pekerja terbabit tidak sedarkan diri manakala seorang lagi sedar.

“Didapati dua mangsa tidak sedarkan diri dan seorang lagi mangsa sedar. Semua mangsa dibawa ke QEH dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas.

“Salah seorang mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak HWKKS dan dua lagi menerima rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 6:05 PM